PADU akan lalui fasa percubaan mulai November ini, maklum Menteri Ekonomi
Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dijangka melalui fasa percubaan mulai November ini, maklum Menteri Ekonomi Rafizi Ramli .
Timbalan Presiden KEADILAN itu ketika menjadi tetamu program Buletin Bernama pada Sabtu berkata, langkah itu dilaksana sebelum sistem pangkalan data itu dibuka kepada orang ramai pada Januari 2024 untuk kegunaan pengesahan maklumat peribadi.
Setakat ini tambahnya, proses pembangunan sistem PADU yang menggabungkan maklumat sosioekonomi bagi setiap isi rumah rakyat Malaysia bagi memperkemas pelaksanaan subsidi bersasar yang bakal dilaksana berjalan lancar mengikut garis masa dirancang.
“Garis masa PADU dari segi kerangka, use case, interface dan functionality dijangka siap menjelang Oktober ini sebelum diuji pada November hingga Disember dengan data sekumpulan rakyat Malaysia didaftarkan dahulu.
“Insya-Allah kalau semua berjalan baik, maka PADU akan siap untuk memegang (mengumpul) keseluruhan data rakyat Malaysia pada Januari 2024,” katanya.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata keselamatan data sistem PADU akan merangkumi 270 pangkalan data daripada kementerian dan agensi kerajaan persekutuan serta kerajaan negeri dan badan berkanun melalui perjanjian perkongsian data sedia ada.
Apabila Akta Omnibus diluluskan di Parlimen kelak, ia akan mengambil alih tata kelola PADU bagi memastikan keselamatan perkongsian data serta memudahkan proses perkongsian data selain menjadikan PADU sebagai pangkalan data berterusan.