Semasa

KSU beri jaminan penjawat awam sokong aspirasi RMKe-12

Anggota perkhidmatan awam akan sentiasa meningkatkan penyampaian perkhidmatan bagi mencapai aspirasi Malaysia MADANI seperti digariskan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12).

Jaminan itu diberi Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali melalui satu catatan dimuat naik di laman Facebook rasmi beliau malam tadi.

“Kajian Separuh Penggal, Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMKe-12) adalah manifestasi daripada Kerajaan Perpaduan dalam memacu pembangunan yang holistik berteraskan kepada tiga (3) fokus utama, iaitu memperkukuh kemampanan, membangun masyarakat sejahtera dan mencapai Negara berpendapatan tinggi.

“Dengan 17 anjakan besar yang diumumkan, pastilah penggerak utama pelaksanaan dasar ini adalah Perkhidmatan Awam.

“Saya yakin dengan kepimpinan Kerajaan Perpaduan, visi dan misi yang jelas ini dapat menjadi pemangkin kepada kebolehcapaian objektif-objektif yang disasarkan,” katanya .

KSP RMK12 melibatkan anjakan baharu agenda pembangunan negara selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat yang disokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

Bertema “Mampan, Sejahtera dan Berpendapatan Tinggi”, KSP RMK12 berteraskan kepada tiga tumpuan utama iaitu menuju negara berpendapatan tinggi, membangun masyarakat sejahtera dan memperkukuh kemampanan dan tata kelola.

Related Articles

Back to top button