Semasa

Persatuan jangka tuaian Oktober ini selesai isu kekurangan stok beras putih tempatan

Orang ramai disaran untuk tidak terlalu bimbang dengan isu kekurangan stok dan kenaikan harga beras dihadapi ketika ini.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Pemborong-pemborong Beras Semenanjung, Lin Mao Shun dipetik laporan Oriental Daily memberitahu, negara masih jauh dari krisis bekalan malah hasil tuaian pada Oktober ini dijangka akan memulihkan semula bekalan Beras Putih Tempatan (BPT)

Mengulas isu kekurangan BPT ketika ini beliau berkata, antara lain ia disebabkan oleh hasil tuaian beras tempatan yang kurang baik. Malah produktiviti beras tempatan telah berkurangan susulan kawalan harga yang menyebabkan harganya kekal selama 15 tahun pada RM2.60 sekilogram.

“Walaupun kerajaan menyediakan subsidi, tetapi yang memperoleh manfaat hanyalah petani sedangkan pengilang perlu berdepan kenaikan kos dari segi bil elektrik dan air, gaji dan lain-lain.

“Keadaan ini menyebabkan pengusaha kurang bersemangat untuk berkecimpung dalam bidang ini,” katanya kepada Oriental Daily.

Sementara itu, ketika menyentuh mengenai penyelarasan harga jualan beras putih import seluruh negara daripada RM2,350 satu tan kepada RM3,200 satu tan, Mao Shun berkata, permintaan untuk beras dari kilangnya di Sekinchan, Selangor turut melonjak sejak pengumuman itu.

“Pengumuman yang dibuat oleh Padiberas Nasional Bhd (Bernas) hanya menyentuh beras putih biasa dan harga untuk beras wangi adalah lebih tinggi.

“Bukan sahaja di Malaysia, tetapi harga beras di seluruh negara memang sedang mengalami kenaikan, cuma beras tempatan sahaja yang tidak boleh naik harga,” katanya lanjut.

Related Articles

Back to top button