RMK-12: Negara ada kemampuan tampung tambahan RM15 bilion tanpa berhutang – Rafizi
Pertambahan RM15 bilion dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) adalah bagi menampung pelaksanaan pembangunan program yang dekat dengan rakyat .
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dalam satu sidang media bagi mengulas pembentangan laporan kajian Separuh Penggal (KSP) RMK12 oleh Perdana Menteri pada Isnin berkata , semasa RMK12 dibangunkan had itu diletakkan pada RM400 bilion namun ada banyak perkara yang memberi kesan kepada rakyat tidak termasuk dalam rancangan berkenaan dan perubahan kerajaan memerlukan jajaran baru selaras dengan ekonomi Madani.
“Hasrat perdana menteri nak baiki sekolah daif, jalan daif, kilinik, tak ada (dalam peruntukan RM400 bilion), oleh itu perlu tambahan yang baru. Tambahan RM15 bilion menjadikan siling (meningkat kepada) RM415 bilion,” katanya.
Mengulas lanjut, Rafizi menegaskan pertambahan kos itu adalah bergantung kepada jumlah pendapatan negara yang dijangka terus meningkat.
“Jangkaan kerajaan, defisit kekal tiga peratus… Kita yakin boleh berbelanja lebih tanpa kita berhutang lebih,” tambahnya lagi.
Dalam pada itu Rafizi berkata, kajian separuh penggal RMK12 bukan sekadar semakan, sebaliknya ia hampir kepada pelan ekonomi baru negara.
“Kajian separuh penggal ini adalah menyeluruh dan memberi gambaran terbaik bukan saja bagaimana kerajaan perpaduan mengubah dasar ekonomi, tetapi memberi kesan kepada rakyat,” menurutnya.