Semasa

Pemuda PN jangan cemar sambutan Hari Malaysia dengan demonstrasi

Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Sabah, Mustapha Sakmud menyifatkan rancangan Pemuda Perikatan Nasional (PN) untuk mengadakan demonstrasi pada sambutan Hari Malaysia, Sabtu ini akan menjejaskan perayaan nasional itu yang sepatutnya disambut dengan penuh keharmonian.

Mustapha berkata, sambutan Hari Malaysia kali ini seharusnya menjadi wadah untuk mendidik generasi muda tentang sejarah dan intipati pembentukan Malaysia dan bagaimana untuk merencana agenda masa depan negara apa lagi sambutan tahun ini amat bermakna kerana menyambut 60 tahun pembentukan Malaysia.

“Mengajak generasi muda untuk turun berdemonstrasi bertepatan dengan sambutan Hari Malaysia bukan saja tidak menghormati perayaan nasional ini, tapi memberi isyarat yang tidak baik kepada generasi muda negara ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Justeru, beliau yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berharap generasi muda yang sayangkan negara supaya berfikiran rasional dan tidak terjebak dengan seruan berdemonstrasi itu.

Apa lagi jelasnya, Kerajaan Perpaduan diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berusaha untuk memastikan generasi muda negara ini dapat menikmati kehidupan lebih baik menerusi akses pendidikan berkualiti, peluang pekerjaan baharu, gaji progresif serta jaringan perlindungan komprehensif.

“Marilah kita bersama-sama meraikan sambutan ulang tahun Hari Malaysia ke-60 dengan tekad dan semangat baharu dalam memastikan negara ini akan terus diperkasakan dan menjadi antara peneraju ekonomi di rantau ini.

“Generasi muda perlu mencorakkan masa depan negara ini dengan teras keharmonian dan perpaduan yang dihasratkan oleh generasi terdahulu,” kata Ahli Parlimen Sepanggar itu.

Related Articles

Back to top button