Wan Mahussin gesa pempengaruh guna media sosial dengan bijak, bukan sebar fitnah
Pempengaruh media sosial yang mempunyai ramai pengikut perlu memainkan peranan dengan mencari informasi yang tepat untuk disampaikan kepada rakyat, gesa Wan Mahussin Wan Zain.
Pengerusi Pertubuhan Idealis Anak Muda itu ketika menjadi tetamu di program wacana anjuran Sinar malam tadi menegaskan pempengaruh perlu bijak menggunakan platform yang ada dengan menyampaikan fakta kepada masyarakat supaya tidak timbulnya kegusaran dalam kalangan mereka.
“Jadi peranan TikToker adalah menjadi daya penyampai kepada pelayar TikTok dengan mencari maklumat yang tepat di media sosial untuk disampaikan kepada mereka.
“Jika baik penyampaian kita maka hasilnya baik kepada rakyat. Jika kita menggunakan media sosial ini sebagai penyebar fitnah maka keburukan itu bukan memberi kesan kepada ahli politik sebaliknya rakyat dan seluruh negara,” katanya.
Program wacana bertajuk TikToker Perosak Politik atau Bukan? yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf malam tadi turut menampilkan dua panelis lain iaitu Penyedia Kandungan TikTok pro Perikatan Nasional (PN), Ratu Naga dan Naib Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Kuala Selangor, Faizal Rahman.
Mengulas lanjut, Wan Mahussin memberitahu bahawa media sosial seperti TikTok merupakan instrumen baik kepada suasana politik negara namun ia perlu digarap dan ditambah dengan info bermanfaat.
“Perkara ini perlu diterapkan agar segala informasi yang disampaikan oleh pemimpin sampai kepada telinga rakyat dalam keadaan sempurna dan tidak timbulnya pergolakan serta perbalahan.
“Jika TikToker bijak menggunakan media sosial, saya yakin platform ini mampu menjadi daya penyampai yang baik dan mantap,” katanya.