Nasional

Kerajaan akan bantu industri jimat kos penggunaan tenaga dengan banyak pilihan tenaga alternatif

Kerajaan akan menyediakan lebih banyak pilihan tenaga alternatif bagi membolehkan kos penggunaan tenaga dapat dijimatkan berikutan ada beberapa laporan sebelum ini yang menyatakan pihak industri terutamanya sektor pembuatan berdepan dengan lonjakan kos menjalankan perniagaan disebabkan peningkatan harga.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata kerajaan memahami kenaikan kos elektrik ketika ini memberi tekanan kepada industri.

Namun, beliau menegaskan bahawa seiring dengan matlamat negara ke arah sifar bersih, peralihan tenaga ini perlu dilaksanakan dan akan terus diperkukuhkan dari semasa ke semasa, malah menjadi agenda utama NRECC kepada Kementerian Kewangan untuk diperkemaskan dalam Belanjawan 2024 akan datang.

“Kerajaan akan melaksanakan yang terbaik bagi peralihan tenaga untuk membantu mengawal harga elektrik.

“Kita juga beri lebih banyak alternatif selepas ini bagi langkah penjimatan tenaga.

“Apabila ada banyak tenaga boleh baharu (TBB) ia bukan saja menghasilkan kelestarian, tetapi juga soal mampu milik dan sekuriti,” katanya selepas Sesi Dialog Belanjawan 2024 NRECC dan Program Naratif Ekonomi Madani di Kuala Lumpur, hari ini.

Nik Nazmi berkata, peralihan tenaga akan dilaksanakan dengan peningkatan kapasiti terpasang TBB, ketika pertumbuhan ekonomi negara dipacu oleh penjanaan tenaga elektrik dengan kebergantungan yang tinggi terhadap sumber bahan api fosil.

Katanya, sektor tenaga adalah penyumbang terbesar kepada pelepasan gas rumah kaca pada kadar 78 peratus dan bagi memenuhi komitmen iklim negara, Pelan Peralihan Tenaga Kebangsaan menyasar untuk mengoptimumkan kecekapan penggunaan tenaga serta meningkatkan kapasiti terpasang TBB kepada 70 peratus pada 2050.

“Bagi mencapai sasaran itu, jumlah kapasiti terpasang TBB di semenanjung Malaysia perlu mencapai 55 gigawatt (GW) berbanding 25 peratus kapasiti TBB semasa berjumlah enam GW.

“Secara purata, kira-kira 2GW kapasiti TBB akan dibuka setiap tahun untuk dibangunkan oleh pihak industri, terutama bagi sumber solar,” katanya.

Nik Nazmi berkata, pelaksanaannya juga akan memberikan kesan positif kepada perdagangan produk mesra alam sekitar, terutama bagi sektor tenaga yang didapati terus meningkat walaupun perdagangan global menunjukkan penurunan secara keseluruhan.

Sehubungan itu, katanya usaha akan terus dipertingkatkan bagi mengalakkan pertumbuhan ekonomi hijau melalui sasaran yang ditetapkan pada 2030 iaitu pelaburan hijau terkumpul sehingga RM100 billion, 200,000 peluang pekerjaan dalam industri teknologi hijau dan penarafan Produk dan Servis MyHIJAU Mark kepada 50,000 produk dan perkhidmatan hijau.

“Bagi memastikan keberkesanan dasar, inisiatif dan tindakan yang dilaksanakan, NRECC akan terus mengambil pendekatan inklusif membabitkan semua pemegang taruh baik di peringkat membuat keputusan mahupun di peringkat pelaksanaan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata NREC berharap Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan pada 13 Oktober ini membawa lima agenda menjadi tumpuan utama kementerian itu.

Katanya, lima agenda itu ialah peralihan tenaga, pembangunan rendah karbon, pemeliharaan dan pemuliharaan biodiversiti, perlindungan alam sekitar serta pembangunan mineral.

“Melalui komitmen semua pihak, pelaksanaan Kerangka Ekonomi MADANI akan berupaya memacu perubahan landskap ekonomi negara ke arah kemampanan dan memperkasa rakyat serta generasi masa hadapan,” katanya.

Related Articles

Back to top button