Sukan

MotoGP Malaysia: SIC perkenal tiket RAHMAH

Peminat sukan permotoran tanah air kini berpeluang menyaksikan acara secara langsung Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di Grand Prix (GP) Malaysia 2023, November ini pada harga istimewa.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif, berkata 7,000 tiket di K2 Hillstand dijual dalam talian dan kaunter jualan tiket mulai hari ini pada harga RAHMAH serendah RM49.90.

“Selain harga tiket istimewa, parkir percuma dan menu Rahmah untuk F&B (makanan dan minuman) turut diperkenalkan. Ini pertama kali kami perkenalkan inisiatif seumpama ini.

“Jadi, kami menjangkakan 170,000 penonton berbanding 164,000 penonton yang hadir tahun lepas dan sekarang kita berada di landasan betul untuk ‘sold out’ kerana hampir 70% tiket dijual bermula tahun lepas,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

MotoGP GP Malaysia 2023 akan berlangsung dari 10 hingga 12 Nov ini.

Dalam pada itu, Azhan berkata tiada pelumba tempatan akan beraksi atas tiket “wild card” dalam perlumbaan GP Malaysia 2023 setakat ini.

Tetapi katanya, keputusan itu boleh berubah jika ada pihak mahu menawarkan diri memberi penajaan dan keputusan itu hanya akan diketahui 45 hari sebelum perlumbaan berlangsung.

“Untuk tahun ini, kita tak ada rancangan lagi untuk meletakkan pelumba negara atas tiket ‘wild card’. Kalau ada penaja ‘wild card’ seperti Petronas, saya tidak menolak kemungkinan.” jelasnya.

Related Articles

Back to top button