hiburan

Platform media sosial bakal dilesenkan, jana semula pulangan kepada industri media- Fahmi

Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) telah mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mendaftar dan melesenkan platform media sosial utama, Google, META dan Tiktok.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, langkah itu bagi memastikan platform tersebut turut sama memberi pulangan semula kepada industri media di negara ini.

Tambahnya, isu itu perlu diteliti dengan serius berikutan penguasaan platform media sosial itu telah memberi impak terhadap industri media tempatan.

“Selepas pertemuan MCMC dan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dengan beberapa platform media sosial yang besar seperti TikTok, Google dan META, saya sudah membincangkan beberapa perkara dengan MCMC untuk meneliti keperluan bagi mendaftar dan melesenkan beberapa platform terbabit.

“Antara lain kita melihat ada keperluan mempertimbangkan satu mekanisme untuk ketiga-tiga platform ini dapat menyumbang balik kepada industri media di Malaysia,” katanya dalam satu sidang media.

Fahmi sebelumnya hadir menyampaikan Bantuan Kasih@HAWANA kepada kakitangan RTM, Irwan Budi yang menghidap penyakit kronik di kediamannya di Taman Sourabaya Indah di Kuching semalam.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, keperluan untuk melesenkan tiga platform media sosial itu perlu kerana banyak kandungan yang dihasilkan oleh organisasi media di Malaysia mereka manfaatkan.

“Namun, pulangan kepada organisasi media tempatan amat kurang, jadi kita akan terus meneliti isu itu untuk memastikan ekosistem media Malaysia mampan dan sihat,” katanya.

Related Articles

Back to top button