Semasa

Jawi diarah pantau masjid dan surau, jangan dijadikan tempat pendemostran berhimpun

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Mohd Na’im Mokhtar mengeluarkan arahan agar Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutan (Jawi) membuat pemantauan ke atas institusi masjid dan surau dibawah seliaan mereka.

Jelas Mohd Naim, ia bagi memastikan tiada mana-mana pihak menyalahguna rumah ibadat dengan menjadikannya sebagai platform awal untuk berhimpun sehingga akan menggugat institusi masjid yang sepatutnya berfungsi untuk menyatukan umat Islam.

“Selain itu apabila masjid dan surau dilibatkan dengan kancah politik kepartian, ia akan menimbulkan ketegangan dalam masyarakat, selain mencemar institusi berkenaan sebagai zon bebas kepartian,” katanya dalam kenyataan lewat petang semalam.

Untuk rekod, Pemuda PN yang merancang mengadakan demonstrasi di Kuala Lumpur hari ini mahu menjadikan Masjid Kampung Baru sebagai tempat berkumpul bagi memulakan bantahan terhadap keputusan Jabatan Peguam Negara menghentikan prosiding kes Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam kenyataan itu juga Mohd Na’im menyeru semua pihak agar bertanggungjawab serta tidak menjadikan institusi masjid atau surau sebagai gelanggang pertelagahan politik.

“Jawi diarahkan untuk membuat pemantauan ke atas masjid dan surau dalam Wilayah Persekutuan serta mengambil tindakan berpandukan lunas undang-undang jika ada mana-mana pihak melanggar undang-undang yang berkuat kuasa.

“Semua pihak diseru agar tidak terpengaruh dengan sebarang aktiviti dianjurkan pihak tertentu yang boleh mengundang perpecahan serta menimbulkan kegelisahan awam,” katanya.

Related Articles

Back to top button