Semasa

Perpustakaan Negara terbit kompilasi hasil karya berkaitan PM Anwar

Bahan terbitan elektronik baharu, e-katalog ‘Beranotasi Datuk Seri Anwar Ibrahim’ merangkumi kompilasi 32 buku koleksi bahan, hasil karya Perdana Menteri atau yang berkaitan dengan pemimpin itu dilancarkan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) pada Jumaat.

Ketua Pengarah PNM Salasiah Abdul Wahab berkata e-katalog berkenaan merupakan antara usaha PNM memastikan gagasan dan aspirasi Malaysia MADANI dibawakan perdana menteri ke-10 itu dapat menjadi khazanah warisan intelek negara untuk rujukan generasi kini dan akan datang.

“Antara judul yang terdapat di dalam e-penerbitan ini ialah ‘Keuntungan Dengan Tanggungjawab Sosial (Siri Ucapan Dasar)’ yang diterbitkan oleh Institut Kajian Strategi dan Antarabangsa pada 1993.

“Naskhah ini merupakan teks ucapan yang disampaikan oleh Anwar selaku Menteri Kewangan (ketika itu) bersempena dengan seminar Ke Arah Negara Maju: Ketangkasan Ekonomi dan Tanggungjawab Sosial,” katan Salasiah pada pelancaran e-katalog itu sempena Program Hari Malaysia 2023 Peringkat PNM di Kuala Lumpur.

Selain e-katalog ‘Beranotasi Datuk Seri Anwar Ibrahim’ turut dilancarkan, e-buku ‘Erti Kemerdekaan Bagi Rakyat Malaysia’ yang menghimpunkan slogan kemerdekaan yang terhasil daripada Kuiz Kemerdekaan Dalam Talian anjuran PNM yang bermula pada 1 hingga 31 Ogos.

Beliau berkata penerbitan kedua-dua bahan secara elektronik itu amat bermakna, signifikan dan tepat pada masanya selari dengan usaha kerajaan dalam menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia sempena sambutan Bulan Kebangsaan.

Related Articles

Back to top button