Semasa

Polis klasifikasi demonstrasi semalam gagal patuh undang-undang

Pihak berkuasa polis menegaskan Himpunan Selamatkan Malaysia yang diadakan pemuda Perikatan Nasional (PN) di ibu negara pada Sabtu diklasifikasikan sebagai tidak mematuhi undang-undang.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, susulan itu pihaknya akan memanggil individu dikenalpasti bagi disiasat berhubung perhimpunan dihadiri kira-kira 800 peserta itu.

Tambahnya, polis telah mengambil tindakan dalam memudahcarakan perhimpunan dan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Saya menekankan perkara ini dan pihak polis sebagai penguat kuasa undang-undang. Jadi kita berpandukan undang-undang iaitu Akta Perhimpunan Aman 2012 yang menggariskan perkara yang perlu dipatuhi oleh polis dan penganjur khususnya Seksyen 9, 10 dan 11.

“Mengikut Seksyen 9, penganjur perlu berikan pemakluman dan ia ditetapkan dalam akta terbabit,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada Sabtu.

Tambahnya lagi, dalam borang pemakluman ini, penganjur perlu menyatakan kebenaran pemilik tanah dan sebagainya dan perlu disertakan kebenaran terbabit.

Katanya, polis ada tanggungjawab besar perlu memberi maklum balas selain mendapatkan pandangan penduduk dan pemilik harta sebelum program terbabit dilaksanakan.

“Pemakluman ini mengikut akta yang ditetapkan, bukan surat biasa.

“Buat masa ini perhimpunan ini tidak patuh akta dan kita akan lihat kembali apa tindakan susulan yang wajar kita ambil,” ujarnya.

Related Articles

Back to top button