Pulau Pinang ikrar terus sokong usaha Kerajaan Perpaduan
Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyatakan komitmen mereka untuk menyokong usaha kerajaan Pusat merancang dan melaksanakan agenda pembangunan negara yang mampan, selaras aspirasi Malaysia MADANI, wadah Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat serta Agenda Pembangunan Mampan 2030.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini telah menambah RM15 bilion ke dalam peruntukan RM400 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) demi menoktahkan kemiskinan tegar, menyelesaikan masalah asas prasarana dan keperluan asas rakyat, menjamin bekalan air bersih dan sebagainya.
“Siling perbelanjaan RMK-12 ini telah mengambil kira jangkaan kekal dalam sasaran defisit 3.5 peratus menjelang 2025 yang penting bagi pembangunan ekonomi negara termasuk di negeri ini, memandangkan ekonomi Pulau Pinang bertumbuh sebanyak 13.1 peratus pada 2022 berbanding 6.9 peratus pada tahun sebelumnya, dengan nilai KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) sebanyak RM112.1 bilion.
“Lazimnya, sektor pembuatan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tertinggi yang mencatatkan peningkatan sepanjang tahun lepas iaitu sebanyak 15.9 peratus, berbanding 12.4 peratus pada tahun sebelumnya,” katanya dipetik.
Kon Yeow berkata begitu pada ucapan di Majlis Sambutan Hari Malaysia peringkat Pulau Pinang di Dewan Millenium, di Kepala Batas pada Sabtu.
Beliau sementara itu menambah sambutan Hari Malaysia peringkat Pulau Pinang kali ini adalah sebahagian usaha Kerajaan Negeri menyemarakkan lagi semangat patriotik dan kepelbagaian dalam negara.
“Mengambil semangat tema Hari Kebangsaan tahun ini iaitu Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan, selain menghargai ketabahan warga Malaysia mengharungi cabaran dan dugaan yang melanda negara, ia juga merupakan iltizam negara untuk membentuk warga Malaysia yang bersatu padu, saling hormat-menghormati serta meraikan kepelbagaian.
“Ia dipacu oleh Kerangka Malaysia MADANI yang menjadi pemangkin kepada masyarakat yang maju dan bertamadun berdasarkan ilmu pengetahuan, tradisi, khazanah dah kearifan tempatan,” tambahnya.