Tindakan tegas terhadap individu eksplotasi isu 3R ikut peraturan, jelas Timbalan Menteri KDN
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah menegaskan tindakan diambil pihak berkuasa polis terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan membabitkan isu 3R adalah berdasarkan tatacara dan peraturan yang termaktub.
Perkara itu dinyatakan ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) bagi kementerian itu di Dewan Rakyat semalam.
“Apa sahaja keputusan dan tindakan yang dibuat oleh Kementerian Dalam Negeri, kita punyai tatacara dan peraturan yang termaktub dalam undang-undang sedia ada.
“…kita sentiasa komited dan mendukung hak kebebasan bersuara sebagaimana yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan selagi ia mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan…
“Sebab itu, mana-mana pihak yang ingin mengelak daripada diambil tindakan, patuhilah peraturan yang ada,” katanya sambil menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang mengeksplotasi isu 3R tanpa mengira latar belakang, status atau kedudukan.
Dr Shamsul sebelumnya menjawab celahan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) yang mencadangkan agar PDRM menahan pihak yang mempermain isu 3R sekiranya menerima laporan.
Sementara itu jelasnya, kesalahan melibatkan isu 3R dinyatakan dengan jelas dan termaktub dalam Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan (Akta 574) serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Ketika menjawab soalan mengenai parameter berkaitan kesalahan melibatkan isu 3R yang dibangkitkan oleh Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) dan Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) beliau berkata, pihak kerajaan dan PDRM terbuka serta bersedia memberi penjelasan mengenai perkara itu sekiranya pihak pembangkang mahukan maklumat lanjut.