Tak faham hadis punca ada pihak tolak pelaksanaan Hadis 40 Imam Nawawi
Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Profesor Dr Rozaimi Ramle menyifatkan tindakan sesetengah pihak yang menentang pelaksanaan Hadis 40 Imam Nawawi bagi pelajar Islam di sekolah seluruh negara berpunca dari kegagalan mereka memahami hadis.
Bercakap dalam satu rancangan disiar Sinar Harian baru-baru ini, Dr Rozaimi berkata, sekiranya kandungan modul itu diteliti, masyarakat pasti menyokong pelaksanaannya kerana ia boleh menjadikan umat Islam sebagai Muslim yang baik.
“Kalau kita petik satu hadis yang terdapat dalam Hadis 40 Imam Nawawi ini kita akan mendapati tiada masalah pun bagi orang bukan Islam kerana ia hanya menyentuh berkenaan akidah orang Islam.
“Sebagai contoh, hadis nombor dua dalam Hadis 40 Imam Nawawi menceritakan tentang iman, Islam dan ihsan.
“Tapi masalah kita ialah kita tidak melihat isi kandungan hadis 40, asal nama Islam kita cuba untuk membantah. Bantah dulu sebelum faham… Ini adalah suatu barah yang akan merosakkan keharmonian negara,” katanya.
Dr Rozaimi sebelumnya dijemput sebagai panelis program Di Sebalik Isu Bersama Finaz Yunus bertajuk ‘Mengapa Wujud Polemik Modul Hadis 40 Imam Nawawi?’
Beliau sementara itu juga tidak menolak kewujudan kelompok hari ini yang membaca hadis tanpa mengikuti disiplin sewajarnya hingga berlaku banyak penyelewengan dan kecelaruan.
“Inilah yang menjadi masalah kepada kita hari ini pertama orang tidak mahu membaca dan meneliti, bantah walaupun dia tak faham apa yang dibantah.
“Yang kedua orang membaca hadis nabi SAW yang berbahasa Arab tapi tidak mengikuti kaedah sebenar tidak mahir di dalam bahasa Arab jadi akhirnya menimbulkan kekeliruan bukan kerana hadis itu bermasalah tapi kefahaman dia yang bermasalah,” kata Rozaimi.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum ini menafikan dakwaan kononnya lima hadis dikeluarkan dari modul asal Hadis 40 Imam Nawawi yang akan digunakan bagi pelajar Islam di sekolah seluruh negara.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilaporkan berkata dakwaan Pengerusi Persatuan Hindu Agamam Ani Malaysia, Arun Dorasamy bahawa KPM mengeluarkan lima hadis itu, sehingga menimbulkan polemik, adalah tidak benar dan belum dimuktamadkan.