Janji minyak RM1.50 seliter zaman Pas dalam PR, tak lagi releven – PM Anwar
Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas tindakan terdesak segelintir pengkritik yang terus memanipulasi cadangannya pada 2018 untuk harga petrol RON95 diturunkan kepada RM1.50 seliter .
Di Dewan Rakyat pada Selasa, Menteri Kewangan itu menegaskan situasi hari ini berbeza dengan ketika cadangan itu dilontarkan kerana perkembangan membabitkan kadar semasa minyak mentah dunia berbeza.
“Masa itu (2018), berapa harga minyak di Arab Saudi, 50 sen per liter, manakala di Malaysia (RM2.21 seliter).
“Sekarang semasa saya jadi Perdana Menteri, berapa harga petrol? Minyak di Arab Saudi RM2.84 seliter, manakala di Malaysia RM2.05 seliter.
“Kita kena ambil kira ini, kenaikan atau penurunan minyak. Itu maknanya, (harga) minyak kita masih rendah,”jelasnya.
Penyokong pembangkang ketika ini terus memainkan isu cadangan penurunan harga minyak itu di media sosial. Ia bagi memberi persepsi buruk terhadap pentadbiran Anwar walaupun umum mengetahui ia tidak lagi releven ketika ini.
Sementara itu Anwar turut mengingatkan pembangkang termasuk dari Pas bahawa cadangan itu dibuat ketika Pas bersama DAP dan KEADILAN ketika itu bersama dalam Pakatan Rakyat (PR)
“Bila saya (sebut) perkara itu, KEADILAN, DAP dan Pas bersama. Apa yang saya sebutkan itu dipersetujui oleh KEADILAN, DAP dan Pas.
“Oleh itu untuk terus menggunakan komen dan hujah yang kita buat bersama-sama dalam Pakatan Rakyat, tidak tepat sebenarnya,” katanya.