Semasa

Anjakan besar sektor pertanian dan industri asas tani akan dilaksana

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memaklumkan kerajaan akan melaksana anjakan besar dalam sektor pertanian dan industri asas tani.

Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, langkah tersebut bagi mengukuhkan kemandirian serta keterjaminan makanan sekali gus meningkatkan daya saing sektor agrikomoditi.

“Penyertaan sektor swasta untuk mempergiat kegiatan pertanian pintar akan digalakkan. Langkah memperkasa amalan pertanian mampan, termasuk membangunkan model pertanian rendah karbon akan dimulakan secara rintis dalam subsektor padi sebelum diperluas kepada subsektor lain.

“Keterjaminan makanan akan terus diperkukuh melalui pengeluaran pertanian moden yang berskala besar, baru-baru ini, Perdana Menteri telah meluncurkan projek penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun di kawasan pertanian Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Kedah dengan pelaburan sebanyak RM3 bilion,” katanya.

Rafizi turut menjelaskan, bagi tujuan itu kemandirian pengeluaran makanan tempatan akan ditingkatkan melalui automasi dan pendigitalan manakala penggunaan tanah pertanian akan dioptimumkan melalui pengurusan yang lebih cekap.

Sementara itu, pelaksanaan projek Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) dalam program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) akan dipergiat bagi mengurangkan kebergantungan kepada import makanan, mengukuh rantaian bekalan makanan dan menggalakkan penerimagunaan teknologi dalam pertanian selain menoktahkan kemiskinan tegar.

“Industri getah akan ditransformasikan untuk terus berdaya saing. Ini termasuk melalui penggalakan aktiviti hiliran, mencontohi pengeluaran sarung tangan yang telah berada pada kedudukan pertama di dunia.

“Di samping itu, penghasilan produk getah yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi serta kegiatan pengkomersialan hasil R&D dan pemindahan teknologi akan diperhebat bagi memperkasa industri getah negara,” ujarnya.

Related Articles

Back to top button