Global

AMRI ke-16 pentas Malaysia timba pengalaman berkaitan media sosial – Fahmi

Malaysia sedia berkongsi maklumat mengenai usaha membendung berita palsu dan maklumat tidak tepat pada Persidangan Menteri-menteri ASEAN Bertanggungjawab Bagi Maklumat (AMRI) ke-16 yang bermula esok.

Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil berkata,kementeriannya telah melaksanakan usaha-usaha menerusi beberapa agensi di bawahnya termasuk platform Sebenarnya.my yang dikendalikan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan platform MyCheck.

“Antara isu hangat yang akan dibincangkan dalam kalangan menteri-menteri adalah mengenai berita palsu.

“Saya percaya ini peluang baik untuk saya bersama dengan Datuk KSU (Ketua Setiausaha KKD Datuk Mohamad Fauzi Md Isa) untuk bekerjasama serta merapatkan hubungan (sesama negara ASEAN),” katanya dipetik laporan Bernama.

AMRI ke-16 bakal diadakan di Furama Resort Danang, iaitu lokasi AMRI ke-16, Vietnam akan membuka tirai dengan Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN yang Bertanggungjawab bagi Maklumat (SOMRI) di venue yang sama.

Timbalan Menteri Penerangan dan Komunikasi Vietnam Nguyen Thanh Lam sebelum ini memaklumkan AMRI ke-16 itu antara lain akan membincangkan topik seperti menangani salah maklumat dan transformasi media digital.

Sementara itu Fahmi berkata, media sosial kini memainkan peranan yang amat besar dalam penyampaian maklumat dan negara-negara ASEAN berusaha memastikan maklumat yang disampaikan kepada rakyat adalah tepat dan benar serta menepati dasar kerajaan masing-masing.

Beliau berkata, melalui mesyuarat itu, Malaysia juga berpeluang belajar daripada pengalaman negara-negara lain di rantau ini yang berhadapan dengan perubahan besar terutamanya di media sosial dalam aspek menarik dana pengiklanan yang kini meninggalkan kesan kepada syarikat dan organisasi media di negara masing-masing.

“Lain negara lain cara mereka. Saya percaya ini satu medan yang mungkin boleh membincangkan tentang isu-isu berkaitan media sosial juga,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button