Selangor juara bina rumah mampu milik untuk rakyat
Komitmen kerajaan Negeri Selangor pimpinan Pakatan Harapan (PH) dalam memenuhi keperluan rakyat di negeri itu tidak dapat dinafikan.
Ia terbukti apabila Selangor telah menerima pengiktirafan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dari sebagai juara dalam penyediaan dan penyiapan rumah mampu milik di negara ini.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, negeri itu berjaya membina 40,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun sejak 2018 dan tambahan 45,000 unit bakal disiapkan akhir tahun ini.
“Ini semua hasil pemantauan serta inisiatif kerajaan negeri semasa pandemik Covid-19 dengan memberi ruang projek Idaman dan Harapan supaya pemaju tidak melepaskan rumah mampu milik yang perlu disubsidi.
“Pada hari ini, projek tersebut yang sedang berkembang, selain Dasar Selangorku 3.0 yang membenarkan unit satu dan dua bilik untuk golongan bujang akan menjadi pelengkap kepada keseluruhan projek,” katanya.
Amirudin berkata begitu pada Majlis Penyerahan Kunci Pangsapuri Seri Temenggung di Batu Caves, Gombak yang dilengkapi 420 unit rumah.
Sementara itu tambahnya,bagi tempoh lima tahun sehingga 2028, kerajaan negeri melonjakkan sasaran membina sekurang-kurangnya 200,000 unit rumah mampu milik.
Selain itu bagi keselesaan rakyat Selangor, kerajaan negeri turut akan terus meremajakan atau membangunkan bandar atau perumahan baharu.
“Shah Alam, Ampang, Petaling dan Cheras mempunyai banyak kawasan perumahan yang dibangunkan pada 80-an 90-an dan perlu dibangunkan semula. Perubahan dasar di peringkat persekutuan diperlukan. Ini peluang terbaik hidupkan kawasan perumahan lebih berdaya saing dengan lebih banyak fasiliti.” jelasnya
Amirudin percaya pembinaan baharu dengan kemudahan serba moden mampu menaikkan kualiti hidup rakyat seperti terkandung dalam Rancangan Selangor Pertama.