Jangan jadikan ucapan di Parlimen sebagai senjata untuk manipulasi, kelirukan rakyat – SKMM
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengesan tindakan segelintir pihak yang menjadikan ucapan di Parlimen sebagai senjata untuk memanipulasi serta mengelirukan masyarakat.
SKMM menerusi kenyataan berkata, pihaknya menekankan kepentingan pelaporan tepat merujuk konteks sebenar ucapan yang disampaikan di Parlimen tanpa menggunakan kandungan itu bagi tujuan menyebarkan kebencian dan mencetuskan provokasi.
“Bagi mencegah sebarang cubaan berlakunya kesalahan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM), SKMM meminta kerjasama penuh pihak atau individu berkaitan serta saluran berita.
“SKMM memandang serius kesan daripada pelaporan yang kurang bertanggungjawab terhadap masyarakat,” kata kenyataan itu.
Ia susulan sebuah portal berita menyiarkan ucapan disampaikan di Parlimen dan hantaran di Facebook oleh wartawan kanan, A Kadir Jasin hari ini.
Dalam pada itu, SKMM menasihati pengamal media dan saluran berita supaya merujuk Kod Kandungan yang memberi panduan jelas berhubung standard kandungan selaras dengan AKM 1998.
“Dengan mematuhi Kod Kandungan, pengamal media dapat memastikan pelaporan yang bertanggungjawab selain mengelakkan daripada melangkaui batas kebebasan bersuara.
“Garis panduan yang digariskan dalam Kod Kandungan menggalakkan pendekatan bertanggungjawab dalam peruntukan kandungan dan prosedur kawalan kendiri,” katanya.
Melalui garis panduan itu juga, katanya, saluran media boleh menyumbang kepada bahan yang lebih seimbang dan bebas daripada sebarang manipulasi serta maklumat kurang tepat.
Adalah penting bagi pengamal media untuk mempraktikkan pertimbangan yang beretika dan mengelak menggunakan kandungan berita sebagai senjata untuk menyebarkan maklumat palsu.