Global

Lawatan rasmi PM Anwar ke New York berjaya tingkatkan profile antarabangsa Malaysia

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan lawatan rasmi empat hari ke Amerika Syarikat (AS) sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-78 (UNGA-78) sebagai berjaya.

Menurutnya, pada lawatan itu, beliau telah mengetengahkan pendirian Malaysia berhubung isu global dan meningkatkan profil negara di persada antarabangsa selain berpeluang untuknya berkongsi dasar dan aspirasi negara terkait hubungan antarabangsa.

“Ternyata hasilnya baik, ternyata profil antarabangsa kita telah meningkat ke kedudukan yang mengagumkan,” katanya di sidang media pada akhir lawatan ke New York.

Anwar ketika menyampaikan Kenyataan Negara telah mengetengahkan isu-isu antarabangsa seperti konflik Ukraine-Rusia, Islamofobia, perubahan iklim dan masalah di Myanmar.

Kenyataan dibuat Anwar pada himpunan itu mendapat reaksi positif dari penganalisis dalam negara.

Sementara itu pada sidang media itu, Anwar turut memberitahu telah menerima begitu banyak permintaan untuk mengadakan pertemuan di luar sesi persidangan diadakan.

“Lanjutan pertemuan dengan rakan-rakan sejawat, saya berpeluang berkongsi pengalaman serta bertukar pendapat dalam isu-isu global dan berkepentingan bersama.

“Terdapat begitu banyak permintaan untuk mesyuarat dua hala, kami tidak dapat menampung kerana kekangan masa,” tambahnya yang turut memuji kerja keras kakitangan Kedutaan Malaysia di AS dan perwakilan tetap ke PBB, Kementerian Luar, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri dan agensi-agensi lain yang terlibat dalam lawatan ini.

Sebagai rekod, Anwar ketika berada di New York turut berkesempatan mengadakan pertemuan dua hala dengan pemimpin-pemimpin Turkiye, Iraq, Thailand dan Sri Lanka.

Beliau yang juga Menteri Kewangan turut mengadakan pertemuan dan berinteraksi bersama 15 syarikat terkemuka AS yang tersenarai dalam Fortune 500 termasuk Airbnb, Amazon, Amazon Web Services, Boeing, ConocoPhillips dan Kimberly-Clark di Harvard Club.

Pada acara Invest Malaysia New York yang dihadiri para pelabur pasaran modal ekuiti dan bon dengan nilai aset di bawah pengurusan mencecah AS$40 trilion, Anwar memberi komitmen kerajaan untuk memastikan suasana pelaburan yang kondusif.

Selain bertemu rakyat dan pelajar Malaysia di sana, Anwar turut diberi penghormatan sebagai pemimpin asing pertama Khutbah Jumaat di Pusat Kebudayaan Islam New York (ICCNY).

Related Articles

Back to top button