Semasa

NGO Islam tubuh sekretariat kekang fitnah di media sosial

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada Selasa melancarkan Sekretariat Anti Fitnah.

Presidennya Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, penubuhan sekretariat itu bagi memerangi penyebaran maklumat palsu terutama berunsurkan fitnah di media sosial yang dilihat semakin menjadi-jadi.

“Kita turut mengisytiharkan satu deklarasi sempena Seminar Membangun Masyarakat Berbudaya Tabayyun hari ini yang membincangkan tentang pentingnya masyarakat kita ini menjauhi gejala menyebar maklumat palsu dan perkara berunsur fitnah.

“Hal itu menjadi kefahaman tentang apa erti tabayyun dalam al-Quran supaya masyarakat mesti teliti, cermat dan tahu bagaimana kita nak menapis maklumat supaya tidak berlaku kekeliruan,” katanya selepas Seminar Membangun Masyarakat Berbudaya Tabayyun di sebuah hotel, di Alor Setar pada Ahad.

Difahamkan sekretariat itu turut disertai Pertubuhan Sukarela Rakyat Aman (Suara), Inisiatif Madani Rakyat Darul Aman (Imran) dan Tabayyun Media Network turut mengajak masyarakat membasmi fitnah yang didakwa sering tular di media sosial.

Sementara itu tambah Mohd Azmin, penyebaran maklumat palsu berunsur fitnah yang ditujukan termasuk kepada kerajaan sangat membimbangkan dan dikhuatiri menggugat keharmonian masyarakat.

“Kita sangat khuatir dengan banyaknya trend menyebar maklumat palsu melalui media sosial. Masyarakat nampaknya tidak tidak begitu mengambil kisah tentang maklumat yang sebenar.

“Maklumat contohnya beras tak cukup dan tidak merujuk kepada pihak berkuasa dan apa yang dia lontarkan mengakibatkan panik,” jelasnya.

Related Articles

Back to top button