Monsun: KKD arah syarikat telco pastikan rangkaian tak terganggu
Perbincangan antara Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dengan syarikat telekomunikasi (telco) telah diadakan bagi memastikan rangkaian telekomunikasi ketika musim tengkujuh tidak terganggu.
Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching, berkata, langkah tersebut penting bagi memastikan usaha menyelamat dan bantuan segera kepada mangsa sekiranya berlaku bencana seperti banjir dapat berjalan dengan lancar.
“Kementerian sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan banjir dan memohon pengguna membuat aduan sekiranya terdapat gangguan perkhidmatan telekomunikasi di kawasan terjejas banjir,” katanya.
Teo sebelumnya ditemui pemberita selepas hadir ke majlis perjumpaan dengan sayap pemuda DAP Pulau Pinang, di Butterworth.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini memaklumkan negara kini sedang berada pada fasa peralihan monsun, sebelum memasuki Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula pada November.
Selain memastikan rangkaian telekomunikasi berada dalam keadaan baik, kerajaan telah mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) meningkatkan kesiapsiagaan di 89 daerah yang berisiko tinggi dilanda banjir.