Negeri

KPKT sasar bina 1,200 unit PPR di negeri Perak dengan peruntukan RM308 juta

Sebanyak RM308 juta diperuntukkan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi pembangunan tiga projek Program Perumahan Rakyat (PPR) baharu di Perak.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, projek di tiga kawasan Parlimen itu akan membabitkan 1,200 unit kediaman di tiga kawasan Parlimen.

Antara dirancang adalah pembinaan 500 unit rumah umah bertingkat dengan kemudahan seperti lif, surau, tadika dan balai komuniti dengan anggaran kos RM140 juta di Parlimen Tambun.

Projek dengan kos RM140 juta itu dijangka akan dibangunkan di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi di atas tapak milik kerajaan negeri.

Selain di Tambun, KPKT turut mensasarkan pembinaan 300 unit rumah jenis teres berserta kemudahan asas antaranya surau, tadika dan bangunan utiliti, yang dibangunkan di atas tapak diberikan kerajaan negeri di di kawasan DUN Kota Tampan dengan anggaran kos RM72 juta.

“PPR Lenggong atau nama asalnya PPR Perak telah diluluskan dalam Rolling Pelan Ketiga (RP3) Tahun 2023, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan akan dilaksanakan secepat mungkin,” jelasnya pada sidang media selepas menghadiri Persidangan DUN di Ipoh pada Isnin.

Bagi PPR Teluk Intan pula, katanya ia terletak di kawasan DUN Changkat Jong dengan 400 unit rumah teres berserta kemudahan asas antaranya surau, landskap dan taman permainan, yang akan dibina di atas tapak milik Perbadanan PR1MA Malaysia dengan anggaran kos RM96 juta.

“Ketiga-tiga projek PPR ini akan membantu menjayakan sasaran kerajaan Persekutuan untuk pembinaan 500,000 unit Rumah Mampu Milik (RMM) di bawah RMK12, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat,” katanya sambil memaklumkan peruntukan semua projek itu sedang dalam pertimbangan Kementerian Ekonomi.

Related Articles

Back to top button