Semasa

MOSTI lulus dana pembangunan startup hampir RM1 bilion

Kerajaan melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah meluluskan dana pelaburan sebanyak RM936.42 juta untuk pembangunan startup.

Menurut Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Arthur Joseph Kurup , jumlah itu merangkumi pelaburan, suntikan ekuiti dan pinjaman, dengan fokus bidang utama terhadap pembangunan teknologi maklumat serta sains dan teknologi.

“MOSTI melalui Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER) 2021-2030 melaksana lima penjana ekosistem iaitu Pembiayaan, Inovasi, Bakat, Ekosistem Pasaran serta Dasar dan Peraturan dikenal pasti dapat meletakkan Malaysia di antara dua puluh ekosistem syarikat startup terbaik di dunia menjelang tahun 2030.

“Di bawah SUPER, sebuah Jawatankuasa Pemandu rentas Kementerian dan lain-lain pihak berkepentingan diwujudkan dalam membincangkan isu-isu pembiayaan dana serta potensi pendanaan alternatif bagi memperkasakan lagi ekosistem startup negara.

“Antara hasil pelaksanaan Jawatankuasa Pemandu ini ialah program Fund Funnel yang melibatkan firma modal teroka dan agensi pembiayaan kerajaan seperti Malaysia Venture Capital Management Berhad (MAVCAP) sebagai satu platform komunikasi antara firma modal teroka, agensi pembiayaan kerajaan dan Bursa Malaysia untuk berkongsi maklumat seperti startup berpotensi, tren pelaburan terkini serta syarat penyenaraian di Bursa (Bursa Listing Requirement).

“Pelaksanaan program Fund Funnel ini juga selari dengan SUPER 2021-2030 yang menekankan kepentingan penstrukturan semula ekosistem pelaburan tempatan untuk meningkatkan kecekapan serta menarik pelaburan berkualiti tinggi, ” katanya semasa menyampaikan ucapan penggulungan perbahasan ke atas Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke Dua Belas (KSP RMKe-12) di Dewan Negara.

Mengulas lanjut Arthur berkata, Fund Funnel akan memberi impak yang positif dalam usaha mengatasi keperluan pendanaan bagi startup yang berdaya saing dan meningkatkan bilangan startup yang disenaraikan di Bursa Malaysia.

Program itu juga memberikan pendedahan dan memahirkan agensi pembiayaan Kerajaan terhadap corak pelaburan firma modal teroka swasta.

“Selain itu, Inisiatif portal MYStartup merupakan sistem penyampaian tunggal awam yang tangkas dan kolaboratif yang bakal menjadi titik utama kerjasama antara semua pemegang taruh di dalam ekosistem startup negara.

“Melalui portal MYStartup di www.mystartup.gov.my, usahawan dan pemain industri ekosistem startup boleh melayari tawaran program-program pembangunan kapasiti atau program sokongan pembiayaan lanjutan yang merentasi Kementerian, ” katanya lagi.

Related Articles

Back to top button