Semasa

Fitnah terhadap Saifuddin berniat jahat, mahu jatuhkan reputasi

Setiausaha akhbar kepada Menteri Dalam Negeri, Muhammad Zakwan Mustafa Kamal membuat laporan polis susulan fitnah dilemparkan kepada Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Laporan polis yang dibuat di Balai Polis Presint 7, Putrajaya pada Rabu itu susulan dakwaan Saifuddin membuat permohonan maaf kepada Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.

Menurut dakwaan fitnah yang ditularkan di media sosial itu, Saifuddin kononya membuat permohonan maaf itu susulan dakwaanya bahawa pemimpin PAS itu menyalahgunakan jawatan menteri besar dan pengerusi Menteri Besar Diperbadankan (MBI) untuk mencuri REE atau terlibat dalam kecurian REE.

“Saya menyifatkan sebaran tersebut merupakan satu sebaran yang tidak tepat dan bersifat fitnah.

“Ia sengaja dimainkan oleh pihak tertentu serta boleh menggugat keharmonian dan ketenteraman awam,” katanya dipetik laporan media.

Muhammad Zakwan turut menyifatkan pembohongan itu sebagai bersifat jahat untuk menjatuhkan reputasi menteri terbabit.

Terdahulu pada Selasa, Saifuddin menafikan dakwaan yang mengatakan dia memohon maaf kepada Sanusi Md Nor berhubung kecurian REE.

Malah Setiausaha agung KEADILAN itu dengan tegas berkata, dia bersedia untuk berdepan dengan Sanusi di mahkamah.

“Saya mengajak Sanusi berdepan di mahkamah nanti, bertarung dengan hujah dan bukti. Bukan dengan fitnah yang sudah menjadi ‘makanan harian’ beliau,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Zakwan melalui laporan itu menggesa pihak polis segera menyiasat fitnah jahat tersebut supaya boleh dihalang daripada terus dimainkan pihak tertentu.

Related Articles

Back to top button