Parlimen main peranan kukuh diplomasi antarabangsa – Johari Abdul
Parlimen Malaysia berperanan dalam memikul tanggungjawab untuk menyokong apa juga usaha Eksekutif atau Kerajaan Persekutuan bagi memperkukuh hubungan diplomasi, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.
Dipetik temu bual khas bersama Bernama Johari berkata, sebagai bidang kuasa legislatif turut mempunyai peranan besar untuk mencapai hasrat kerajaan itu melalui konsep ‘parlimen demokrasi’ supaya dapat melonjakkan pembangunan, martabat dan ekonomi negara.
Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah dua kali berkunjung ke China pada tahun ini dan lawatan delegasi legislatif negara ke republik itu juga merupakan isyarat penting bahawa hubungan diplomasi Malaysia-China amat baik.
“Parlimen Diplomasi bermaksud Parlimen ambil tanggungjawab untuk sokong apa jua usaha yang dilakukan Eksekutif dan dalam kes ini, lawatan ke China.
“Kalau PM sudah laksanakan tugas beliau dengan baik sebagai ‘jurujual’ dengan ‘jual’ kelebihan perdagangan kita, ‘jual’ suasana harmoni negara… saya fikir kita harus bantu beliau kukuh kedudukan itu.
“Parlimen Diplomasi ini penting, misalnya apabila pemimpin luar datang dan kalau PM tiada kesempatan dalam menjelaskan isu tertentu, kita harus bantu,” katanya.
Temu bual sempena lawatan rasmi beliau ke Beijing, China atas undangan rakan sejawatnya Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan China (NPC) ke-14 Zhao Leji.
Pada lawatan itu, Johari mengadakan pertemuan dua hala bersama Zhao, Pengerusi Persidangan Konsultatif Politik Rakyat China (CPPCC) Wang Huning dan Presiden China Xi Jinping selain menghadiri majlis pembukaan Sukan Asia Hangzhou 2023 serta melawat beberapa syarikat besar di negara itu dalam bidang teknologi, tenaga boleh diperbaharui, pertanian dan kecerdasan buatan (AI).
Mengulas lawatan itu, beliau menyifatkannya sebagai amat signifikan kerana menonjolkan keutuhan hubungan diplomasi dengan China yang terjalin sejak 50 tahun lepas.
“Hubungan baik kita dengan China telah berlaku bukan sehari dua tapi sudah lama dan tahun depan kita akan meraikan sambutan Ulang Tahun Ke-50 Hubungan Diplomatik China-Malaysia.
“Dengan dua kali lawatan PM dalam tempoh terdekat baru-baru dan jemputan Kerajaan China kepada saya ini beri isyarat bahawa kepada China, kita memang serius dalam hubungan ini,” katanya.
Mengulas kerjasama diplomatik kedua-dua negara , Johari menekankan itu juga penting untuk pertukaran teknologi selain memastikan Malaysia di landasan tepat bagi mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN pada 2025.
“Gelombang kebangkitan ekonomi di ASEAN dan rantau Asia pada abad ke-21 ini, Malaysia perlu memastikan hubungan diplomatik dengan negara serantau kukuh serta bergerak seiring agar tidak ketinggalan.
“Penting untuk Malaysia belajar dari negara lain khususnya China dan membuat acuan kepimpinan tersendiri untuk menerajui serta membawa ASEAN ke tahap lebih baik,” jelasnya.