Umum

Agong berkenan berangkat ke majlis bacaan Yasin sempena Hari ATM ke-90

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke majlis bacaan Yasin, tahlil dan khutbah khas sempena Hari Angkatan Tentera Malaysia Ke-90 di Masjid Khalid Bin Al-Walid, di Kuala Lumpur, hari ini.

Keberangkatan Seri Paduka di masjid berkenaan pada pukul 12.35 tengah hari disambut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

Hadir sama Panglima Tentera Darat, Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abd Rahman Ayob, Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan pegawai-pegawai kanan ATM.

Majlis dimulai dengan bacaan yasin dengan dipimpin oleh Ketua Pengarah Kor Agama ATM, Mej Jen Datuk Mohd Rashidi Bujai selaku khatib Masjid Khalid Al-Walid yang menyampaikan khutbah Jumaat bertajuk Ibrah Tualang: Merealisasikan Kedaulatan Negara Tanggungjawab Bersama.

Antara intipati khutbah yang disampaikan ialah setiap warga tentera diibaratkan sebagai pohon tualang yang ampuh, kukuh dan kuat dalam menjadi angkatan yang berkredibiliti bagi menjaga kedaulatan negara.

Barisan pertahanan negara juga diingatkan supaya tidak menjadi petualang bagi kepentingan dan kepuasan diri, tanpa melihat kepentingan yang lebih luas yang akan merugikan diri dan organisasi di masa hadapan.

Al-Sultan Abdullah kemudiannya menunaikan solat Jumaat bersama jemaah dan warga ATM yang hadir, diimamkan oleh Timbalan Pengarah Dasar dan Pengurusan Kagat Brigedier Jeneral Mohd Hamzah Adam selaku imam masjid berkenaan.

Yang di-Pertuan Agong kemudian berangkat pulang pada 2 petang selepas selesai menunaikan solat Jumaat dan beramah mesra bersama lebih 2,000 jemaah dan warga ATM serta orang awam yang hadir.

Related Articles

Back to top button