Semasa

Beli sekadar keperluan, jangan tamak simpan stok beras hingga dimakan bubuk

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) , menasihatkan orang ramai membeli stok berasa berdasarkan keperluan keluarga.

Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, bekalan beras tempatan mencukupi untuk pasaran tempatan dan pengguna tidak wajar terpengaruh dengan khabar angin sehingga menyebabkan berlakunya pembelian panik yang menjejas rantaian bekalan.

Malah kerajaan terus komited memastikan rakyat mendapat bekalan makanan ruji itu termasuk menerusi inisiatif Jualan Rahmah Beras di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN).

“Beras ada (dalam pasaran), cuma jika perlu beli dua kampit sebulan maka beli dua kampit, bulan depan beli lagi. Ini bila baca blog (dakwaan beras kurang), mula cemas dan anggap dua ke tiga bulan lagi beras tiada, jadi mereka beli beras sampai empat ke lima kampit.

“Bila beli banyak dan simpan sampai hingga dua ke tiga bulan, beras itu pun akan rosak di makan bubuk (kutu beras) dan sebagainya,” katanya.

Mohamad Sabu ditemui pemberita selepas merasmikan Ladang Kekal Pengeluaran Benih Padi Felcra di Seberang Perak di Pasir Salak pada Jumaat.

Dalam perkembangan sama beliau berkata, kerajaan juga tidak berdiam diri dalam menangani isu bekalan beras tempatan dan telah merangka beberapa usaha jangka panjang bagi meningkatkan pengeluaran hasil padi negara.

Ia termasuk menambah lagi Projek Smart Sawah Berkala Besar (Smart SBB) selain menjalinkan kerjasama bersama syarikat swasta untuk projek tanaman padi di Sabah dan Sarawak serta permohonan agar pengeksportan beras putih dari India diteruskan ke negara ini.

“Bagi jangka masa panjang, kita mahu membangunkan lebih banyak sawah padi di Sabah dan Sarawak supaya pengeluaran hasil padi di sana menjadi stok yang seimbang kepada negara,” jelasnya.

Related Articles

Back to top button