Perundingan isu tahanan 2 warga Malaysia di Teluk Guantanamo masih di peringkat awal – Saifuddin
Kerajaan masih belum memutuskan sebarang ketetapan untuk membawa pulang dua rakyat Malaysia yang ditahan di Penjara Teluk Guantanamo, Cuba.
Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan baharu sahaja memulakan rundingan berhubung perkara itu dengan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS).
“Itu masih pada peringkat awal, kita baharu sahaja memulakan rundingan dengan pihak berkuasa AS.
“Jadi belum ada apa-apa ketetapan, sebarang perkembangan kita akan maklumkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program KDN Madani, di Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada kemungkinan dua tahanan itu akan diletakkan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) atau Akta Pencegahan Jenayah (POCA), Saifuddin menjelaskan rundingan setakat ini belum memasuki fasa tersebut.
“Belum sampai ke peringkat itu, kita baharu sahaja berjumpa (tahanan berkenaan), membaca profil dan keadaan terkini mereka.
“Kita belum sampai ke tahap mereka pijak kaki di bumi Malaysia,” ujarnya lagi.
Sementara itu mengenai status kedua-dua tahanan yang diklasifikasikan sebagai pengganas, beliau enggan mengulas mengenainya.
“Kena tanya siapa yang anggap sebagai pengganas, sebab iniā¦ mereka ditahan 2003. Sekarang tahun 2023, saya jadi menteri baru 10 bulan, rekod yang mengatakan mereka pengganas kena rujuk kepada rekod yang lepas, saya tidak mahu komen.”
Dua rakyat Malaysia itu adalah Mohammed Nazir Lep dan Mohammed Farik Amin yang berdepan lapan tuduhan di Mahkamah Tentera Amerika Syarikat, termasuk tujuh berkaitan pengeboman berkembar, mengorbankan 202 orang di Bali pada Oktober 2002 dan pengeboman di Hotel JW Marriott di Jakarta, pada Ogos 2003.
Mereka ditahan di Thailand pada 2003 dan dimasukkan ke dalam kurungan bersendirian di lokasi rahsia yang dikendalikan Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat sebelum dipindahkan ke Teluk Guantanamo pada 2006.