Semasa

Jerebu: Kerajaan Negeri Sembilan lakukan pemantuan tahap IPU

Kerajaan Negeri Sembilan bersiap siaga berdepan sebarang peningkatan Indeks Pencemaran Udara (IPU) disebabkan oleh jerebu.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun ketika ditemui pemberita selepas hadir merasmikan program bersama Jabatan Penjara Malaysia di Seremban semalam berkata ketika ini pihaknya sedang memantau keadaan cuaca sebelum sebarang tindakan susulan dilakukan.

“Kita lihat dalam tiga empat hari ini, keadaan adalah berjerebu tetapi masih terkawal.

“Kita berharap jerebu ini tidak berpanjangan terutamanya kawasan Nilai dan Port Dickson yang mencatat Indeks Pencemar Udara (IPU) agak tinggi,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai mengunakan pelitup muka sebagai langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat cuaca jerebu.

“Orang ramai dinasihatkan jaga kesihatan terutamanya bagi mereka yang mempunyai masalah berkaitan pernafasan, banyakkan minum air, kurangkan berada di kawasan terbuka termasuklah mengelakkan daripada menjalankan aktiviti luar dalam tempoh yang panjang,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, semua sekolah perlu membatalkan semua aktiviti luar bilik darjah jika bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan mereka melebihi 101.

Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying berkata langkah itu juga selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada ditetapkan oleh kementerian terbabit.

Berdasarkan kemas kini laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Cheras mencatatkan IPU tertinggi dengan 164, diikuti Petaling Jaya, Shah Alam dan Banting masing-masing 157; Putrajaya (156); Batu Muda dan Johan Setia (153); serta Klang (152).

Bacaan udara tidak sihat turut dicatatkan di Negeri Sembilan, melibatkan tiga stesen iaitu Nilai (163); Seremban (158); dan Port Dickson (156).

Dua stesen di Melaka, iaitu Bukit Rambai dan Alor Gajah, masing-masing merekodkan bacaan IPU 153 dan 138,Seberang Jaya, Pulau Pinang (107); Taiping, Perak (137); dan Tangkak, Johor (104).

Bacaan IPU 0-50 dikategorikan sebagai baik; 51-100 sederhana; 101-200 tidak sihat; 201-300 sangat tidak sihat; 301-400 berbahaya; 401-500 sangat bahaya, dan bacaan lebih 501 menandakan kecemasan.

Related Articles

Back to top button