Global

Malaysia sedia kerjasama dengan negara Asean jayakan usaha sifar bersih

Malaysia menyatakan kesediaan untuk untuk bekerjasama dengan negara Asean lain untuk masa depan yang holistik dan mampan bagi rantau ini.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad ketika menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak AtoZero Asean di Kuala Lumpur pada Rabu berkata, selain negara anggota Asean, Malaysia bersedia mencapai sasaran itu dengan kerjasama dengan perserta industri, pembiaya, dan usahawan teknologi.

Mengulas lanjut, Malaysia jelasnya perlu bekerja dalam kerangka Asean untuk berhasil dalam usaha menangani perubahan iklim, dan Asean yang mampan adalah penting ke arah mencapai Abad Asia.

“Semangat Asean yang luar biasa yang memastikan keamanan dan kemakmuran di kebanyakan wilayah sehingga kini mesti beralih ke arah menangani cabaran paling kewujudan pada masa depan, iaitu perubahan iklim dan usaha untuk peralihan tenaga yang adil,” katanya.

Abad Asia merujuk kepada pengaruh atau kuasa besar yang dijangka dilaksanakan negara-negara Asia pada abad ke-21 susulan ekonominya berkembang pesat dan demografi belia.

Sidang kemuncak AtoZero ialah acara kemuncak Pameran dan Persidangan Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2023 .

Ia mengetengahkan kalangan pembuat keputusan utama yang meneroka kaedah, dasar dan peluang perniagaan untuk memacu agenda peralihan kepada pelepasan karbon sifar bersih global.

Sementara Nik Nazmi berkata menjelang 2040, Pusat Tenaga Asean menganggarkan pelepasan karbon dioksida boleh meningkat sebanyak 147 peratus berbanding paras pada 2017 menjadikan Asean antara yang paling rentan di rantau Asia kepada perubahan iklim.

“Asean sebagai sebuah rantau boleh kehilangan 37.4 peratus daripada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) semasa pada 2048 jika mitigasi perubahan iklim tidak dilaksanakan,” tambahnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Nik Nazmi memaklumkan, Kerajaan Malaysia sudah menghantar surat kepada Indonesia dan negara-negara ASEAN lain yang terkesan kejadian jerebu rentas sempadan.

Menurutnya, surat itu dihantar kepada Indonesia dan negara-negara ASEAN sejurus selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkoordinasi dengan rakan sejawatnya bagi menangani masalah berkenaan.

Related Articles

Back to top button