Harga internet di Malaysia akan turun lagi, kata laporan
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Teo Nie Ching mengesahkan harga perkhidmatan Internet di Malaysia akan diturunkan lagi.
Beliau dipetik laporan akhbar berbahasa Cina, Sinchew Daily berkata, kadar penurunan itu dijangka diketahui dalam tempoh seminggu dua.
Mengulas lanjut, Nie Ching menjelaskan, 90 peratus fiber optik di Malaysia adalah milik TM dan syarikat telekomunikasi lain menyewa daripada TM, maka kerajaan telah meminta TM untuk berunding dengan syarikat-syarikat terbabit mengenai penetapan harga.
“Harga borong TM mesti diturunkan untuk memastikan syarikat telekomunikasi lain menurunkan harga runcit masing-masing,” katanya menurut laporan itu.
Menurutnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia telah menyelaraskan Harga Standard Mandatori mengenai Harga Capaian (MSAP) pada awal tahun dan membolehkan penurunan harga secara keseluruhannya.
“Dalam peringkat seterusnya, TM harus menyelaraskan harga borong mengikut MSAP. Keadaan ini selanjutnya akan membolehkan penurunan harga runcit,” katanya.
Tambah Nie Ching, kementeriannya memahami rakyat mahu harga perkhidmatan Internet diturunkan secara berterusan, oleh itu kerajaan telah menyampaikan permintaan berkenan kepada TM.
Semalam Menteri KKD berkongsikan status di laman Facebooknya dengan caption ‘Harga Unifi turun’
Fahmi berkongsi pautan kepada laporan sebuah portal berkaitan teknologi bahawa TM secara rasminya mengumumkan pengenalan kemaskini pada penawaran produk jalur-lebar, Unifi.
Di bawah kemaskini baharu ini, beberapa perkara diumumkan, termasuk permulaan penawaran pakej pada kelajuan 100Mbps dan pakej 30Mbps khas untuk Pakej Rahmah, selain penawaran pakej 1Gbps dan 2Gbps secara berasingan tanpa perlu melanggan pakej Unifi TV.