Politik

Keceluparan Sanusi antara punca PN ditolak – Razeef

Perikatan Nasional (PN) akan terus berdepan masalah menarik sokongan sekiranya Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor terus diangkat sebagai ikon gabungan itu setiap kali pilihan raya.

Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Razeef Rakimin dalam satu kenyataan pada Sabtu mendakwa, Sanusi merupakan antara punca pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai menolak gabungan itu.

Sikap Sanusi yang celupar dan sering membuat kenyataan angkuh dan biadap jelasnya kurang disenangi pengundi Pelangai.

“Pada pandangan saya, PN akan terus bermasalah jika terus menggunakan orang biadab seperti Muhammad Sanusi sebagai ikon mereka.

“Namun penolakan jelas mula dilihat selepas Muhammad Sanusi mengeluarkan kenyataan biadab terhadap Perdana Menteri yang menyampaikan khutbah Jumaat di New York, Amerika Syarikat (AS).

“Kenyataan berkenaan juga dilihat seolah cuba memperbodohkan penduduk DUN Pelangai dan sebagai tindak balas, penyokong PN sendiri memboikot ceramah mega gabungan tersebut yang dianjurkan di Dataran Purnama lima hari lalu dan selepas itu ceramah PN mula kelihatan hambar,” katanya.

Sanusi sebelum ini sering dikritik susulan kenyataannya, termasuk yang didakwa mempertikai keputusan Sultan Selangor dalam memilih Menteri Besar di negeri itu.

Dalam pada itu, ujar Razeef, tindakan Muhammad Sanusi yang mempergunakan isu agama dan kaum bagi meraih sokongan juga jelas kurang disenangi oleh rakyat.

Jelasnya, Pengerusi PN Kedah itu juga beberapa kali dilihat menggunakan perkataan lucah dalam membuat lawak di ceramah umum.

“Tindakan pimpinan kerajaan yang tidak melayan kenyataan-kenyataan Muhammad Sanusi memperlihatkan kematangan dan satu langkah tepat.

“Tindakan ini sekali gus menimbulkan kegusaran pimpinan Perikatan Nasional kerana tidak ada seorang pun pimpinan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional berjaya ditarik ke dalam perangkap ‘badut’ mereka,” jelasnya.

Related Articles

Back to top button