Perkhidmatan van percuma KL Sentral ke Parlimen mulai hari ini
Perkhidmatan van perantara percuma (T851) dari KL Sentral ke bangunan Parlimen disediakan mulai hari ini hingga 14 Disember ini bagi mengatasi kekurangan tempat letak kereta ketika persidangan berlangsung.
Menurut Rapid KL di laman Facebooknya semalam, perkhidmatan itu disediakan untuk pengguna yang mempunyai urusan rasmi di Parlimen.
“Anda juga boleh menggunakan perkhidmatan ini jika ingin ke Taman Botani Perdana,” demikian menurut poster yang dikongsi Rapid KL.
Rapid KL juga memaklumkan kekerapan perkhidmatan itu adalah setiap 30 minit bagi waktu puncak iaitu 7 pagi hingga 10.30 pagi dan 4.30 petang hingga 8 malam manakala kekerapan setiap 60 minit ketika waktu bukan puncak iaitu 11 pagi hingga 4 petang.
Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen Ke-15 akan membuka tirai esok hingga 30 November dan Persidangan Dewan Negara pula akan berlangsung dari 27 November hingga 14 Disember.
Pada Februari lepas, perkhidmatan bas pengantara percuma dari KL Sentral ke bangunan Parlimen disediakan untuk semua termasuk Ahli Parlimen, pegawai bertugas dan pengamal media bagi mengatasi isu kekurangan tempat letak kereta serta kesesakan lalu lintas.