Ekonomi Madani yang disediakan oleh Kerajaan Perpaduan adalah bertujuan untuk menghadapi keadaan ekonomi semasa dunia yang sangat mencabar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dasar ekonomi terbabit tidak sekadar bertunjangkan kemampanan ekonomi dan pembangunan fizikal, tetapi turut terangkum nilai manusiawi dan memenuhi pelbagai tuntutan keadilan.
“Kerangka Ekonomi Madani mendokong cita-cita menyeluruh untuk negara, bukan sahaja terhad kepada keberhasilan ekonomi tetapi juga merangkumi sasaran sosial, keterangkuman dan tatakelola.
“Ekonomi Madani meliputi tujuh penanda aras yang perlu dicapai meliputi aspek pertumbuhan ekonomi, kemampanan fiskal, daya saing global, tatakelola yang baik, kualiti hidup, pekerjaan berkualiti dengan upah yang tinggi dan peluang yang saksama, terutamanya bagi golongan wanita,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin di Dewan Rakyat, hari ini.
Tambahnya, dasar terbabit yang berasaskan nilai Madani yang amat penting terutamanya dalam menegakkan tatakelola berintegriti untuk menyelamatkan negara daripada ketirisan dan penyelewengan akibat rasuah.
Ujar Anwar, Ekonomi Madani turut diperincikan melalui Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP).
Menurutnya, pelaksanaan Ekonomi Madani akan dipantau secara langsung oleh Jabatan Perdana Menteri serta agensi pusat utama.
Katanya lagi, kestabilan politik pentadbiran Kerajaan Perpaduan akan memberi landasan untuk melaksanakan pembaharuan dan reformasi negara.