Semasa

AMK anjur himpunan solidariti Palestin di Kuala Lumpur Jumaat ini

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli mengajak rakyat Malaysia menyertai satu himpunan solidariti untuk Palestin yang akan diadakan di Kuala Lumpur Jumaat ini.

Menurut beliau, himpunan solidariti itu yang akan diadakan selepas solat Jumaat minggu di Surau Tabung Haji, Jalan Tun Razak, di ibu negara terbuka kepada semua termasuk pemimpin pembangkang bagi menzahirkan sokongan kepada rakyat Palestin yang memperjuangkan kemerdekaan tanah air mereka.

“Kami menjemput seluruh anak muda dan rakyat Malaysia serta pimpinan negara dan masyarakat untuk bersama-sama pada hari tersebut bagi menyatakan sokongan kita terhadap rakyat Palestin yang dizalimi.

“Secara kasarnya kita sudah mula berurusan dari segi perundangan dengan pihak polis dan sebagainya bagi memastikan yang dirancang ini berjalan dengan lancar dan mematuhi undang-undang.

“Kita terbuka dengan semua orang (termasuk wakil rakyat pembangkang). Pentas tersebut terbuka dan kita telah berhubung,” katanya dalam sidang media di lobi parlimen pada Isnin.

Dalam sidang media sama, beliau yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya turut menyeru komuniti antarabangsa dan pertubuhan hak asasi manusia untuk berlaku adil dalam menanggapi konflik yang berlaku di Palestin.

“Anak muda Malaysia juga menggesa agar semua negara dan warga dunia yang bertamadun dan berperikemanusiaan agar menolak sebarang usaha menormalisasi hubungan diplomatik dengan Israel yang secara tidak langsung menidakkan keabsahan Palestin sebagai negara yang merdeka dan dizalimi,” katanya.

Adam Adli sementara itu turut menegaskan AMK menggesa agar Majlis Keselamatan PBB bertindak dengan segera bagi menghentikan penjajahan rejim Zionis ke atas wilayah Palestin.

Related Articles

Back to top button