Automative Hi-Tech Valley: DRB-Hicom, Geely tandatangani Perjanjian Kolaborasi Utama
Perjanjian Kolaborasi Utama (MCA) antara DRB-HICOM Berhad (DRB-Hicom) dan Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd. (Geely) telah ditandatangani pada Rabu.
Perkembangan terbaharu ini adalah susulan daripada pemeteraian Dasar-Dasar Utama Perjanjian (HOA) oleh DRB-Hicom dan Geely awal tahun ini di Forum Perniagaan Malaysia-China di Beijing sebelum ini.
MCA ini menetapkan prinsip-prinsip asas, rangka kerja tadbir urus dan komitmen bersama dalam pembangunan projek Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) di Tanjong Malim.
DRB-Hicom berkata, MCA ini menetapkan prinsip-prinsip asas, rangka kerja tadbir urus dan komitmen bersama dalam pembangunan projek AHTV, termasuk peranan khusus yang perlu dilaksanakan untuk pembangunan dan inisiatif promosi.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Hartanah dan Perancangan & Strategi Korporat, Azri Zaharuddin telah menandatangani perjanjian itu bagi pihak DRB-Hicom manakala Naib Presiden Kanan merangkap Ketua Pegawai Operasi, Dr Wei Mei menandatangani bagi pihak Geely.
Majlis diadakan di Proton Tanjong Malim disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tuurt hadir pada majlis tersebut adalah Menteri Pelaburan, Perdagangan & Perindustrian Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang; Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad; Eric Li, Pengerusi Geely Holding serta Syed Faisal Albar selaku Pengerusi Proton.
Terdahulu, perdana menteri telah mempengerusikan Mesyuarat Pembangunan Projek AHTV peringkat tertinggi sebelum majlis menandatangani perjanjian tersebut.
AHTV dijangka akan menarik pelaburan tempatan dan luar negara yang akan mendorongnya menjadi sebuah hab automotif antarabangsa untuk neighborhood electric vehicle (NEV).
Tumpuannya bukan sahaja kepada pengeluaran kereta pelbagai jenama, tetapi juga dalam pembuatan komponen dan alat ganti berteknologi tinggi untuk NEV.
Ini akan memperluaskan lagi keupayaan vendor tempatan ke arah pengkhususan dalam pembuatan berteknologi tinggi.
Selain MCA, pemeteraian HOA antara Altel Communications Sdn. Bhd. (Altel) dan syarikat pelaburan strategik Geely, Zhejiang Geespace Technology Co. Ltd. (Geespace) turut diadakan.
HOA memberi tumpuan kepada pembangunan dan pelaksanaan sistem teknologi tinggi dan akan mempercepatkan perlaksanaan penyelesaian inovatif bagi sektor-sektor seperti pelabuhan pintar.