Semasa

KPM cadang perkenal TVET di sekolah integrasi Jabatan Penjara

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bercadang memperkenalkan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di semua 11 sekolah integriti Jabatan Penjara Malaysia seluruh negara.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kewujudan program kemahiran itu mampu memberi nilai tambah dan meningkatkan produktiviti pelajar di sekolah banduan muda sekaligus memberi mereka prospek masa depan lebih cerah.

Bercakap pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Penutupan Program Hijrah Kasih Kali ke-13 di Sekolah Integriti Pusat Koreksional Puncak Alam di Kuala Selangor pada Rabu, beliau bagaimanapun menjelaskan, cadangan itu perlu dibincangkan di peringkat kementeriannya terlebih dahulu.

“Hasil perbincangan di peringkat KPM ini seterusnya dibawa ke mesyuarat Kabinet bagi memperluaskan TVET di sekolah integriti ini,” katanya.

Selain itu, Fadhlina menyatakan rasa puas hati dengan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di seluruh sekolah integriti terbabit.

Menurutnya, pada tahun lalu sahaja, seramai 86 pelajar sekolah integriti seluruh negara yang menduduki SPM meraih pencapaian lulus 100 peratus dengan keputusan minimum 5A dan maksimum 7A.

“Kita harap kejayaan ini dapat diterjemahkan dalam peperiksaan akan datang dengan tumpuan diberikan kepada pengupayaan guru dan latihan serta penumpuan kepada penghuni yang akan mengambil peperiksaan,” tambahnya.

Ditanya mengenai kemungkinan terdapat isu kekurangan guru di sekolah integriti, Fadhlina mengakui perkara itu, namun menjelaskan ia tidaklah kritikal.

Beliau memberitahu, kementeriannya sentiasa berusaha untuk memastikan masalah kekurangan guru di sekolah terbabit diatasi segera.

Related Articles

Back to top button