Negeri

KM Sabah puji Belanjawan 2024, sifatkan sebagai ‘Belanjawan Merakyat’

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor menyifatkan Belanjawan 2024 dibentangkan Perdana Menteri pada Jumaat sebagai ‘Belanjawan Merakyat’ kerana meletakkan kepentingan rakyat sebagai fokus dan teras keutamaan.

Hajiji berkata, Belanjawan 2024 merupakan belanjawan kedua yang dibentangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak mengambil alih teraju pemerintahan pada 24 November 2022, jelas menunjukkan wilayah Borneo terus digerakkan dalam arus pembangunan negara apabila Sarawak turut diberikan peruntukan berjumlah RM5.8 bilion.

Ia turut menunjukkan komitmen Kerajaan Perpaduan menjurus ke arah mengurangkan kemiskinan dan merapatkan jurang pendapatan di negara ini.

“Pengawalan kos sara hidup dan peningkatan pendapatan khususnya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana, menjadi tumpuan Belanjawan 2024 ini.

“Inilah yang saya maksudkan sebagai belanjawan merakyat,” katanya selepas menyaksikan pembentangan Belanjawan 20024 di pejabatnya di Menara Kinabalu pada Jumaat.

Menyentuh mengenai peruntukan pembangunan RM6.6 untuk Sabah, beliau menyifatkannya sebagai manifestasi dukungan Kerajaan Perpaduan menyeimbangkan pembangunan antara wilayah Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Katanya, peningkatan peruntukan tahun depan sebanyak RM100 juta adalah juga sebahagian usaha Kerajaan Persekutuan memenuhi pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kerajaan negeri menyambut baik dan mengalu-alukan penyediaan peruntukan itu dan bertekad untuk menjadikannya inspirasi apabila kita membentangkan Belanjawan Negeri Sabah 2024 tidak lama lagi,” katanya.

Hajiji turut menjelaskan, inti pati Belanjawan Madani 2024 itu akan diambil kira dan disesuaikan dengan teras Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) menerusi Belanjawan Negeri Sabah 2024 nanti.

Sementara itu, Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir dipetik laporan media turut memuji belanjawan dibentangkan Perdana Menteri

Ia jelasnya membuktikan komitmen dan kesungguhan Kerajaan Perpaduan mensejahterakan kehidupan masyarakat di negeri itu.

Related Articles

Back to top button