Semasa

Belanjawan 2024 disifatkan sangat komprehensif

Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan Belanjawan 2024 sebagai sangat komprehensif.

Menurut beliau, sebahagian besar syor dikemukakan kementeriannya telah diterima dan dimasukkan dalam belanjawan yang bentangkan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Antara syor berkenaan termasuklah elemen kawalan sempadan, reformasi penjara, aset agensi penguat kuasa, seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan pindaan ke atas Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

“Itu memerlukan kami menyediakan persiapan logistik pusat serenti sebab kita tidak lagi meletakkan mereka ke jalur penjara tapi pusat serenti.

“Ini diikuti dengan pewujudan sebuah agensi tunggal sempadan negara, yang saya rasa ia satu pengumuman besar tadi, yang akan bermula tahun depan,” katanya dipetik.

Mengulas lanjut mengenai program Baitul Mahabbah Jabatan Imigresen bagi menyediakan penempatan sementara buat kanak-kanak warga asing yang sebelum ini ditempatkan di pusat tahanan imigresen, Saifuddin berkata, melalui kelulusan RM10 juta yang diberikan, KDN akan memperluas program itu di tiga lagi pusat penempatan pada tahun depan.

“Satu sudah kita buat pada bulan lalu di Nilai, Negeri Sembilan dan satu lagi akan saya luncurkan di Papar, Sabah pada November, diikuti masing-masing satu di Sarawak dan Semenanjung, menjadikannya empat penempatan,” katanya.

Related Articles

Back to top button