Semasa

Belanjawan 2024: diskaun bayaran balik ringan beban peminjam

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Datuk Norliza Abdul Rahim berharap insentif diumum kerajaan kepada peminjam dapat membantu meringankan golongan itu membuat pembayaran balik pinjaman mereka.

Melalui satu kenyataan, Norliza berkata, diskaun sehingga 15 peratus diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap peminjam yang bersungguh-sungguh menyelesaikan baki pinjaman mereka walaupun dalam keadaan ekonomi getir.

“Sebagai sebuah kerajaan Malaysia MADANI yang bersifat ihsan, peduli, berkasih sayang dan merasai keperitan rakyat, kerajaan telah memberikan insentif diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN melalui Belanjawan 2024.

“Sehubungan itu, perincian berkenaan pelaksanaan insentif diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN ini akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Pada pembentangan Belanjwan 2024 jumaat lalu, perdana menteri mengumumkan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN.

Ia melibatkan diskaun 10 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman, 10 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran dan 15 peratus untuk bayaran secara potongan gaji atau debit terus berjadual.

Sementara itu Norliza berkata,PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi amat berterima kasih dengan pengumuman itu dan komited untuk melaksanakan pemberian insentif diskaun bayaran balik pinjaman itu yang bermula hari ini hingga 31 Mac 2024.

Untuk sebarang pertanyaan, peminjam jelasnya boleh melayari portal rami PTPTN di www.ptptn.gov.my atau menghubungi careline PTPTN di 03-2193 3000, live chat, e-Aduan di http://eaduan.ptptn.gov.my/, eksekutif pemasaran PTPTN di https://www.ptptn.gov.my/hubungi-ptptn dan media sosial rasmi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional.

Related Articles

Back to top button