Semasa

Bantuan Awal Persekolahan diteruskan walau tidak diperinci dalam Belanjawan 2024

Dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa golongan B40 dipinggirkan dalam Belanjawan 2024 dianggap tidak berasas.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, banyak insentif dan bantuan untuk golongan itu dikekalkan, namun tidak dijelaskan secara terperinci oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan belanjawan Jumaat lalu.

Justeru tegasnya, tidak wajar untuk pengkritik mencara kekurangan dalam belanjawan itu tanpa melihat ia secara keseluruhan bagi meremehkan usaha kerajaan.

“Umpamanya subsidi bersasar. Itu ditujukan bukan hanya kepada B40 tetapi juga M40 iaitu dengan mengurangkan subsidi untuk kumpulan T20. Untuk Bantuan Awal Persekolahan telah sedia ada tetapi bantuan untuk pemohon masuk ke universiti , itu secara automatik diperoleh.

“Perdana Menteri menyebutkan, kalau seseorang itu mendapat tawaran masuk ke universiti tetapi tidak mempunyai kewangan, itu cara automatik dibiayai kerajaan. Yang itu kenapa tidak dilihat? Kenapa cari yang kurang walaupun itu telah ada dalam perancangan (Belanjawan 2024)?,” katanya.

Ahmad Zahid berkata begitu ketika ditemui pemberita selepas sesi wawancara Belanjawan 2024 pada program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri pada Ahad.

Beliau turut memberi contoh Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang didakwa tidak diumumkan dalam Belanjawan 2024 yang sebenarnya masih dikekalkan.

“Keterangkuman semua kumpulan sasar itu jelas tetapi untuk kumpulan M40, bantuan awal persekolahan dan sebagainya, itu mungkin tidak disebut secara khusus. Tetapi ada di dalamnya (Belanjawan 2024),”tambahnya.

Sebagai rekod, Kerajaan memperuntukkan RM788.1 juta untuk meneruskan bantuan awal persekolahan (BAP) menerusi Belanjawan 2024.

Berdasarkan dokumen di laman sesawang khas belanjawan.mof.gov.my, peruntukan bantuan kepada semua murid tanpa mengambil kira had pendapatan ibu bapa itu meningkat berbanding RM450 juta pada tahun ini.

BAP bernilai RM150 diberikan kepada warganegara dari Tahun 1 hingga Tingkatan 5 atau setaraf, bersekolah di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan; sekolah agama; sekolah swasta berdaftar dengan kerajaan; Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih, Sekolah Integriti, dan Sekolah Henry Gurney.

Isu berkaitan BAP timbul susulan ia tidak diperincikan dalam pembentangan Belanjawan 2024 .

Related Articles

Back to top button