Semasa

Taska terbabit kes kematian bayi tidak berdaftar, dikenakan tindakan sita

Taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Seksyen 6, Kota Damansara yang terbabit kes seorang bayi meninggal dunia ketika dalam jagaan mereka Selasa lalu tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Aiman Athirah Sabu berkata siasatan awal pihaknya mendapati taska berkenaan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1) Akta Taman Asuhan Kanak-kanak, iaitu mengendalikan suatu taska tidak berdaftar.

“JKM akan hantar notis pemberitahuan tindakan LAK atau sita dan selepas 21 hari, sekiranya taska tersebut tidak mengemukakan bukti atau perakuan pendaftaran, maka tindakan lanjut ialah seperti kompaun atau tindakan pendakwaan berlandaskan undang-undang,” katanya kepada pemberita selepas satu program di Universiti Malaya pada Ahad.

Media sebelum ini melaporkan kejadian malang menimpa serang bayi perempuan berusia dua bulan yang dipercayai meninggal dunia ketika dalam jagaan pengasuh taska tersebut

Qaseh Aulia Faizul dikejarkan ke hospital pada hari kedua dia dihantar ke taska berkenaan setelah ditemui tidak sedarkan diri dengan muka pucat kebiruan

Bapa mangsa, Faizul Ali Adam mendakwa telah melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di taska itu dan mendapati ada unsur kecuaian pengasuh dipercayai warga asing di premis berkenaan ketika menjaga anaknya yang dalam keadaan berbedung.

Rakaman berkenaan yang menunjukkan Aulia ditinggalkan dalam keadaan tertiarap tanpa pengawasan selama satu jam yang dipercayai menyebabkan mangsa mengalami kesukaran bernafas.

Dalam pada itu, Aiman menasihatkan ibu bapa menghantar anak-anak ke taska yang berdaftar dengan JKM, kerana setiap taska berdaftar mematuhi prosedur pengasuh dan penjagaan kanak-kanak yang ditetapkan.

“Kementerian berharap ibu bapa peka dan hanya menghantar anak-anak ke taska berdaftar dengan JKM, kerana setiap taska yang berdaftar akan dipantau oleh agensi, selain pengasuh juga telah menjalani kursus asuhan.

“Sebelum mendaftar ke taska, ibu bapa harus semak dengan pengusaha sama ada mereka punyai perakuan pendaftaran atau boleh semak dengan JKM dan portal JKM,” tambahnya.

Sebagai rekod, menteri KPWKM Datuk Seri Nancy Shukri pada Jun lalu menyatakan rasa bimbang apabila pihaknya mengesan banyak Taska tidak berdaftar di negara ini.

Kewujudan taska tidak berdaftar tegasnya perlu dikekang kerana membabitkan aspek keselamatan kanak-kanak yang dihantar di premis berkenaan.

Walau bagaimanapun, memahami ada operator Taska mahu berdaftar secara sah namun berdepan kekangan termasuk karenah birokrasi membabitkan isu teknikal dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), perkara itu jelasnya akan dibincangkan dengan kementerian berkaitan.

Related Articles

Back to top button