Pemansuhan subsidi sementara tak dilakukan serentak – KSP
Kerajaan sedang mengkaji untuk menarik balik beberapa subsidi sementara namun ia tidak akan dilaksana secara serentak.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican berkata, proses penarikan semula subsidi itu akan dilakukan secara beransur-ansur agar tidak memudaratkan rakyat.
“Seperti mana yang telah dijelaskan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dalam pembentangan belanjawan baru-baru ini, antara yang telah dirancang adalah penarikan subsidi ayam dan telur selepas mengambil kira keadaan pembekalan yang telah stabil.
“Kerajaan juga meneruskan subsidi bersasar untuk tenaga elektrik dan selanjutnya diesel,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas sesi perbincangan pasca Belanjawan 2024 anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia serta Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya pada Isnin.
Perbincangan itu menyediakan platform kepada Kementerian Kewangan untuk menyatakan bagaimana pendekatan dalam Belanjawan 2024 dijangka menggalakkan pertumbuhan ekonomi.
Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan kerajaan tetap meneruskan pemberian subsidi kepada rakyat namun menegaskan tindakan penyelarasan subsidi mesti dilakukan supaya golongan mahakaya tidak lagi menerima manfaat itu termasuk 3.5 juta warga asing di negara ini selain ketirisan melalui kegiatan penyeludupan.
“Subsidi diteruskan, tak boleh nak potong kerana harga (barang) melambung, rakyat di bawah akan terkesan.
“Jadi mesti ada penyelarasan supaya golongan yang mahakaya jangan diberi subsidi, orang asing dielak mendapat subsidi supaya ia diberi kepada rakyat memerlukan,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya semalam.