Pilihanraya

PRK Kemaman ditetapkan pada 2 Disember depan sebagai hari mengundi – SPR

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Kemaman, Terengganu pada 2 Disember ini.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing ditetapkan pada 18 November dan 28 November ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas di Menara SPR, di Putrajaya bagi membincangkan tarikh penting berkaitan PRK Parlimen Kemaman.

PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ia selepas pihak pempetisyen, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.

Pada 3 Oktober lepas, Pas memutuskan untuk tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan petisyen Parlimen Kemaman yang membatalkan kemenangan parti itu.

“PRK Parlimen Kemaman, Terengganu memerlukan peruntukan RM3.5 juta,” kata Abdul Ghani.

Menurutnya seorang pegawai pengurus pilihan raya yang dibantu tujuh penolong pegawai pengurus dan 2,102 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK Parlimen Kemaman.

Beliau berkata, lima pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya juga ditubuhkan yang dianggotai wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan dan calon bertanding bagi memantau aktiviti kempen sepanjang tempoh rasmi berkempen.

Katanya, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 18 November ini hingga 11.59 malam, 1 Disember.

Menurutnya, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRK Parlimen Kemaman adalah seramai 141,790 orang terdiri daripada 141,382 pengundi biasa, 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan pasangan serta 12 pengundi tidak hadir luar negara.

DPPR bagi PRK tersebut akan mula dijual pada 14 November ini.

Abdul Ghani berkata, Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) yang digunakan bagi PRK Parlimen Kemaman adalah Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman.

“Sebanyak 49 pusat mengundi biasa yang mengandungi 244 tempat mengundi atau saluran dan empat pusat mengundi awal yang mengandungi empat tempat mengundi atau saluran awal akan digunakan,” katanya.

Pengundi boleh membuat semakan untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7018/7218/7124 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

Semakan maklumat pengundian akan dibuka pada 14 November ini.

Abdul Ghani berkata, SPR menyeru bakal calon yang bertanding dalam PRK Parlimen Kemaman supaya mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Terengganu sebelum hari penamaan calon bagi memudahkan proses penamaan calon.

Katanya, bakal calon juga digalakkan membuat pembayaran deposit lebih awal untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar.

Walau bagaimanapun, beliau mengingatkan kertas penamaan calon yang telah lengkap diisi dan disemak oleh Pejabat Pegawai Pengurus mesti dikemukakan oleh calon atau penyokong atau pencadangnya semasa hari penamaan calon di PPC.

SPR dalam pada itu turut menawarkan kepada mana-mana agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau badan yang berminat menjadi pemerhati pilihan raya dalam melihat perjalanan proses PRK tersebut bermula dari hari penamaan calon hingga keputusan pilihan raya diumumkan.

“Pemerhati dibenarkan untuk membuat pemerhatian seperti di pusat penamaan calon, pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan pusat penjumlahan rasmi undi serta perlu mematuhi kesemua syarat pelantìkan yang telah ditetapkan,” katanya.

Maklumat lanjut dan borang permohonan untuk pemerhati boleh diperoleh daripada portal rasmi SPR di www.spr.gov.my bermula hari ini dan tarikh tutup permohonan pada 26 Oktober ini. – Bernama

Related Articles

Back to top button