Harga ayam di Melaka tak naik seperti didakwa – Pengarah KDN negeri
Harga ayam di negeri Melaka terkawal dan tidak naik seperti di dakwa, kata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Pengarah KPDN Melaka, Norena Jaafar berkata, bekalan ayam dan juga pergerakan harga bahan mentah basah itu dalam pasaran di negeri itu masih mengikut harga kawalan yang ditetapkan kerajaan.
“Semalam tular satu laporan akhbar menyatakan harga ayam di Melaka naik 70 sen dan ini tidak benar,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Norena melalui kenyataan tersebut turut menegaskan, hasil pemantauan berterusan pegawai pemantau harga dan juga pemeriksaan harian oleh penguatkuasa KPDN Melaka di seluruh negeri mendapati rata-rata peniaga masih mengekalkan harga jualan ayam bawah harga kawalan iaitu RM9.40.
Ada sebahagian premis menjual ayam jelasnya turut menjual ayam serendah RM7.99 sekilogram iaitu lebih rendah dari yang ditetapkan.
“Terdapat segelintir peniaga yang mengenakan caj pemotongan ayam antara 30 sen hingga RM1 bagi sekilogram, namun ia hanya sebagai pilihan bagi pengguna,” jelasnya.
Norena turut berkata, setakat ini tiada aduan rasmi berkaitan harga ayam diterima oleh pihak KPDN Melaka. Justeru, orang ramai menasihatkan mendapatkan maklumat sahih sebelum menyebarkan kepada umum.
Beliau sementara itu turut mengingatkan peniaga agar mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan bagi memastikan kelestarian perdagangan di negeri ini.
Pengguna boleh melaporkan sebarang salah laku dan menyalurkan aduan berkaitan perdagangan dan isu kepenggunaan menerusi Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) KPDN Negeri Melaka di talian 06-2345869, yang beroperasi setiap hari dari 9 pagi hingga 6 petang selain menyalurkan aduan melalui aplikasi Whatsapp di 019 – 279 4317.