Global

Perdana Menteri bertemu Liga Muslim, bincang isu kekejaman terhadap rakyat Palestin

Isu pembantaian rejim Israel terhadap rakyat Palestin terbukti terus menjadi perhatian perdana menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan bersama Setiausaha Agung Liga Muslim Sedunia, Sheikh Dr. Mohammad Abdul Karim Al-Issa pada Jumaat membincangkan konflik di Gaza.

Melalui satu perkongsian di Facebook, Anwar berkata perbincangan dilakukan termasuk kesepakatan yang harus diambil oleh pemimpin negara-negara Islam dan rangkaian ulama sedunia dalam menghentikan penindasan itu.

“Kami turut berbincang berkaitan isu dakwah dan pendidikan Islam bersempena Muzakarah Ulama Antarabangsa yang akan dianjurkan di Malaysia kelak,” katanya.

Terdahulu, Anwar mengadakan kunjungan ke pejabat pertubuhan Islam yang berpengaruh iaitu atau dikenali Rabitah Alam Islami di Riyadh, Arab Saudi semalam.

Kunjungan itu juga disertai Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan delegasi Malaysia yang disambut dalam suasana persahabatan yang erat oleh Mohammad.

Mohammad merupakan pemimpin amat disegani pelbagai pihak termasuk komuniti Barat kerana pengalaman luasnya sebagai bekas Menteri Keadilan Arab Saudi dan Presiden Organisasi Halal Antarabangsa manakala Liga Muslim Sedunia adalah pertubuhan Islam yang berpengaruh, berpangkalan di Mekah.

Kelmarin, Anwar dalam ucapan dalam sidang kemuncak ASEAN-GCC memaklumkan Malaysia berpendirian rakyat Palestin harus dikembalikan semula tanah, ru­­­mah dan harta mereka selain di­benarkan hidup aman serta bermaruah di negara sendiri.

Related Articles

Back to top button