Global

Diwawancara media Arab, PM Anwar gesa dunia henti kegilaan rejim Israel

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menggesa supaya dunia bangkit menghentikan sikap hipokrit mengenai situasi yang sedang berlaku di Gaza.

Bercakap dalam satu temu bual dengan Arab News pada Jumaat, beliau berkata, terlalu banyak percanggahan dan penipuan dalam arena politik antarabangsa terkait isu Palestin.

“Anda bercakap tentang hak asasi manusia dan pada masa sama anda menafikan hak orang lain, saya merujuk contohnya anda mengutuk Rusia atas pencerobohan kerana keputusan Rusia untuk mengambil enklaf Rusia di Ukraine, adil.

“Tindakan itu dikutuk tetapi, isu pencerobohan Israel dan mengambil alih tanah rakyat Palestin, ia dibenarkan, dan bukan itu sahaja, malah perbuatan itu terus disokong dan dipertahankan,” katanya dalam temu bual itu.

Menyifatkan situasi yang berlaku di Gaza ketika ini sebagai suatu ‘kegilaan’, Anwar berkata, Malaysia tetap dengan pendirian bahawa pencerobohan dan penindasan serta layanan buruk terhadap wanita dan kanak-kanak di Gaza sehingga menyebabkan mereka menderita, harus dihentikan.

“Saya tidak faham mengapa orang Israel tidak faham apa itu episod Holokus pada masa lalu dan kini ia dikenakan ke atas orang lain,” katanya.

Sementara itu dalam temu bual dengan Asharq Al-Awsat, Anwar menggesa masyarakat antarabangsa melakukan segala yang terdaya untuk menjamin keamanan di Semenanjung Gaza susulan pembantaian rejim Israel yang membunuh ribuan nyawa tidak berdosa.

Beliau turut menyatakan pendirian Malaysia yang percaya bahawa semua orang mesti bekerjasama untuk menghentikan kegilaan pembunuhan berterusan yang diamalkan oleh Israel di Palestin.

“Kami mengambil pendirian yang sangat teguh bersama-sama dengan saudara, kawan, sekutu, dan jiran kami. Perbuatan keji ini mesti berakhir.

“Masyarakat antarabangsa mesti berusaha bersungguh-sungguh untuk menjamin keamanan. Dan saya maksudkan keamanan untuk semua (…) tetapi Gaza kini dikepung, dan orang ramai bergelut untuk hidup, tiada bekalan air, elektrik, makanan dan ubat-ubatan. Keadaan ini benar-benar tragis,” kata Perdana Menteri kepada akhbar berbahasa Arab berpengkalan di London itu.

Menurut laporan media, setakat petang Ahad seramai 4,651 warga Palestin di Gaza maut dalam serangan disasarkan Israel terhadap orang awam, sementara 14, 245 lagi dilapor cedera.

Rejim itu bukan sahaja mengebom rumah penduduk malah turut memusnahkan rumah ibadat dan hospital awam.

Serangan udara rejim pada Selasa lalu keatas hospital Al-Ahli al-Arabi di Gaza memusnahkan kemudahan awam itu dan membunuh kira-kira 500 orang terdiri termasuk pesakit, wanita dan kanak-kanak yang berlindung di hospital berkenaan.

Related Articles

Back to top button