Saifuddin jelaskan kepada Muhyiddin, mengapa pemimpin PN disiasat berhubung isu 3R
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail membidas Muhyiddin Yassin kerana mendakwa polis tidak mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dalam menyiasat isu berkaitan agama, kaum dan raja-raja (3R).
Ia susulan kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu di Dewan Rakyat yang berkata dia “takut untuk bercakap sekarang” selepas mendakwa dirinya telah dipanggil oleh polis sebanyak lima kali mengenai kes 3R.
Mengulas siasatan terhadapnya, bekas Perdana Menteri itu mendakwa polis akan memanggil sesiapa saja yang bercakap mengenai isu 3R, tanpa mengira konteks.
Dalam jawapannya, Saifuddin menjelaskan polis hanya menjalankan siasatan termasuk terhadap Muhyiddin apabila terdapat laporan dibuat berhubung isu yang dipercayai berbaur hasutan.
Saifuddin kemudian memperincikan sebab Muhyiddin disiasat polis berhubung isu 3R yang antaranya berkaitan tuduhan mengundi Pakatan Harapan (PH) adalah bahaya kerana PH menaja kumpulan Yahudi.
“Pada 17 September 2022, jam 5 petang, aduan telah dibuat di atas ucapan (ahli parlimen) Pagoh dalam Ceramah Mega PN Best pada 16 September 2022 di Padang Bukit Muar Parit Jawa. Ini disebut.
“Jadi polis terpaksa buka siasatan. Sebab ada aduan, apa kalimahnya? Nak cakap tentang bangsa Melayu, Islam agama yang suci murni, silakan.
“Tapi bila sampai kepada (dakwaan Muhyiddin mengenai) ‘bahaya PH kerana menaja kumpulan Yahudi’, dan menyebabkan kristianisasi di Malaysia, polis siasatlah,” jelasnya.
Muhyiddin menuduh Pakatan Harapan (PH) menaja kumpulan Yahudi dan Kristian yang cuba mengambil alih Malaysia, namun tidak pernah membuktikan dakwaan dibuat dihadapan penyokongnya itu sebaliknya mendakwa kenyataannya itu telah diambil di luar konteks.
Dalam pada itu, Saifuddin turut memetik contoh siasatan lain dijalankan pihak polis berhubung isu 3R.
Ia termasuk kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang (PN – Marang) yang mendakwa kerajaan PH, dalam tempoh 22 bulan mentadbir negara, telah cuba mengubah Perlembagaan Persekutuan, menyingkirkan Islam dan mencabar hak istimewa orang Melayu.
Mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain supaya isu 3R tidak disentuh, Saifuddin memberi contoh apa disentuh Abdul Hadi semasa penggulungan Muktamar PAS ke-69 minggu lalu.
“Marang sebut lagi 3R ini patut dikenakan kepada perkara yang mengancam agama Islam dan undang-undang. Bukan ambil tindakan kepada orang yang menasihati kerajaan atau menasihati orang Melayu tentang 3R.
“Nasihat tak ada masalah. Tapi bila sebut perbuatan ini adalah mencabar Islam, mencabar Allah mencabar raja-raja, tapi tak disebut siapa cabar, ungkapan di mana?
“Dalam konteks inilah IGP berikan nasihat (supaya tak sentuh 3R),” kata Saifuddin.